Kenapa Solat Di Tepi Dinding?

Gambar hiasan: ...Jika tiada jemaah yang bersembahyang, maka mereka akan bentang sejadah di tepi dinding dan solat secara individu

Seusai solat saya cuba berehat sebentar seminit dua di ruang belakang surau. Lelah juga window shopping berseorangan tadi. Tujuannya hanyalah untuk membeli sehelai baju kemeja sahaja, tetapi masa memilhnya terlalu lama dek sikap cerewet dan kewangan pula tidak membantu. Para pengabdi Tuhan masih keluar masuk surau silih berganti, walaupun tidaklah terlalu ramai. Kelihatan gerak mereka sangat segera seperti mengejar masa. Surau-surau persinggahan begini sememangnya dipenuhi oleh manusia-manusia yang sibuk namun tidak sampai melupakan Tuhannya terus.

Sekiranya tiada jemaah sedang bersolat, buatlah jemaah baru dan kita menjadi imamnya. Sekiranya tiada sesiapa, solatlah di kedudukan yang mudah orang mengangkat kita menjadi imam”

Seorang pemuda lalu di hadapan saya. Dia mengambil sejadah, lalu membentangnya di tepi dinding dan terus bersolat. Kemudian mampir pula seorang lagi pemuda. Dengan mukanya masih dibasahi air wudhuk, matanya meliar mencari sejadah yang tidak digunakan. Setelah ketemu, dibentangnya sejadah itu. Namun aneh juga, di tepi dinding jua ruang yang dipilih dan dia terus bersolat.  Nampaknya tiada yang menghidupkan jemaah solat yang baharu setelah yang pertama tadi selesai.

Apabila berada di surau-surau awam sebegini, apakah yang anda perhati dan fikirkan? Kalau di pusat beli belah pasti rungutan berkisar ruang solat yang sempit atau bau tikar basah yang meloyakan. Bertambah dengan bauan stoking-stoking yang sebulan tidak dicuci. Sebelum itu lagi kita sudah merungut kerana terpaksa mencari surau yang kedudukannya terpencil. Untung ada, kalau tidak? Boleh juga jadi alasan pekerja Muslim untuk tidak bersolat. Surau-surau sedemikian sudah acap kali diperkatakan dan dipersoalkan. Sedihnya tidak semua diambil tindakan, walaupun masyarakat cukup prihatin. Namun ada juga surau yang kita singgah cukup lapang dan selesa seperti surau di R&R.  Sekiranya di Mesir sudah pasti surau itu dijadikan solat Jumaat.

Apapun mereka yang datang ke surau adalah golongan yang terpuji (tidak termasuk puak yang kebas barang dan kasut di surau). Datang untuk menyembah Allah s.w.t walaupun ketika sibuk dengan urusan.

Sebab itu surau sedemikian akan sentiasa ada orang bersolat biarpun di akhir-akhir waktu. Orang yang sibuk selalunya manalah sempat untuk bersolat di awal-awal waktu. Dek kerana kesibukan itu juga lahirlah satu sikap yang seakan sebati pada kebanyakan musollin (orang-orang yang bersolat) ini.

Perangai Orang Kita

Perasan atau tidak, lazimnya mereka hanya berjemaah ketika di awal waktu sahaja. Selepas itu jika tiada jemaah yang bersembahyang, maka mereka  akan bentang sejadah di tepi dinding dan solat secara individu. Itulah yang dipilih oleh dua pemuda tadi dan itu bukan kali pertama saya melihat sebegitu. Pilih dinding yang di sebelah kanan pula tu, untuk apa? Taktik agar tiada can orang yang terkemudian, boleh mengangkatnya menjadi imam.

Terdetik juga saya, tidak cukup syaratkah mereka untuk menjadi Imam solat? Tidak bersunatkah lagi mereka atau kelakian mereka masih di tahap ragu? Atau mungkinlah juga kurang keyakinan dalam bacaan. Apatah lagi bacaan imam kenalah dibaca kuat sekiranya bersolat maghrib atau Isyak. Untung solat kena baca ayat al-Quran, kalau tidak, bila lagi bibir mahu basah dengan kalam suci.

Pernah juga seorang rakan menolak untuk menjadi Imam. “Kau naiklah jadi Imam. Aku tidak boleh, seluar aku tidak terlalu bersih.”

Habis itu, jika tidak yakin seluar itu bersih, mengapa dipakai juga ketika solat sekalipun menjadi makmum (mengikut belakang imam)? Adakah syarat yakin pakaiannya bersih ketika solat, hanya untuk si Imam, bukannya makmum? Pelik juga kefahaman sebegitu.

Mereka yang ingin mengerjakan solat di surau itu semakin bertambah. Sementelah melihat ada yang menunggu,terpaksalah bangkit untuk memberi ruang pada yang lain.  Ketika mahu keluar terpaksa pula  menuntun di belakang seorang lelaki.  Baru sahaja keluar dari surau ia terus disapa oleh wanita yang mungkin isterinya.“Kenapa lambat sangat? Berdoa panjang ke?”

“Abang berjemaah tadi, lambat sikit.”

“Saya sudah letih jaga barang dekat luar ini. Cepatlah sikit,. saya hendak sembahyang juga.”

Suaminya hanya bergumam kecil, “Masa membeli belah tadi tidak ingat pula  letih.”

Mungkin itu satu penyebab, orang terpaksa lupakan pahala jemaah. Hati risaukan isteri yang menunggu di luar surau. Bersama anak-anak yang melenjit-lenjit keriangan di bawa bershopping. Atau juga tiada alasan, tetapi sudah jadi kebiasaan. Saya pernah menjadi pengunjung setia surau, ketika menjaga ayah sakit di hospital Seremban dan IJN. Setiap waktu saya akan berkejar ke surau. Suraulah tempat saya menenangkan fikiran dan menghilangkan kebosanan. Bukan mudah rupanya untuk menjaga ayah yang tengah sakit terutama kesabaran melayan emosinya.

Sekiranya tidak ramai orang saya akan beriktikaf seketika di surau. Dalam antara perhati atau tidak, sikap tidak suka menghidupkan jemaah ini tetap terlihat dengan jelas.  Begitulah fenomena kebanyakan orang-orang baik di negara kita. Lagi menyebalkan melihat ada yang memilih solat bersendirian sedangkan ada jemaah solat di hadapan. Walaupun terkemudian, pelik  juga solatnya lebih cepat selesai dari jemaah tadi. Husnuzan sahaja mungkin dia terlalu dikekang waktu. Atau  dia bersolat qasar atau mungkin dia tidak perasan jemaah di hadapan kerana ketidaksabarannya menghadap Allah s.w.t.

Situasi ini bukan sahaja di surau-surau malah begitu juga sikap orang kita di masjid. Cumanya kadangkala tidak kelihatan apabila mereka memilih solat bersendirian di selindungi  tiang-tiang masjid. Walaupun sedang musafir, atau sibuk, ia bukanlah alasan untuk menolak solat jemaah.

Gambar Hiasan: Masjid Kristal oleh Syed Isra'

Perangai Orang Mesir

Di Mesir, orang arab cukup-cukup pantang melihat individu yang memilih solat sendirian sedangkan ada jemaah di hadapan. Kalau terlewat masuk masjid, perhatilah dahulu di sekeliling sebelum bersolat, agar tidak terlepas jemaah. Takut juga seusai solat nanti disergah pula oleh puak Salafi yang sememangnya suka direct menegur. Tidak terjawab.

Kadang-kadang ditunjukkan kita orang yang tengah bersolat agar mengangkat orang itu sebagai imam. Selalu juga saya diangkat menjadi imam walaupun saya sedang mengerjakan solat sunat. Tidak pasal-pasal saya pernah jadi imam solat di Masjid Nabawi. Imam muafiklah bila saya ditepuk oleh rakan. Bagi mereka, amat-amatlah rugi solat bersendirian ketika di masjid. Apalah salahnya mengangkat orang yang solat sendirian menjadi imam untuk menambah pahalanya juga. Namun tidak bolehlah ditepuk orang yang sememangnya kita tahu dan yakin ia sedang mengerjakan solat sunat.

Oleh itu bagi yang menyedari cubalah ambil dan hidupkan peluang ini. Pentingkan solat, tersangat-sangatlah bagus kalau dibandingkan dengan puak-puak yang langsung tidak ingat untuk bersujud. Namun kita upkan lagi ke tingkat pahala jemaah pula. Sekejap sahaja sebab imam tidak akan baca panjang-panjang di surau-surau awam sebegini. Lain kalau imam yang kurang sedikit kepekaannya. Habis doa tahlil pun mahu di baca. Nasib tidak doa makan sekali. Padahal di belakang sudah ramai yang menunggu untuk ambil ruang bersolat.

Sekiranya tiada jemaah sedang bersolat, buatlah jemaah baru dan kita menjadi imamnya. Sekiranya tiada sesiapa, solatlah di kedudukan yang mudah orang mengangkat kita menjadi imam. Walaupun bacaan kita tidak sebagus mana, tetapi itu bukan alasan untuk kesedaran sebegini. Kalau sudah tahu bacaan lintang pukang, tajwid panjang pendek main lunggah, bawa-bawalah mengaji semula. Pelakon yang baca tidak sesedap dan sebetul manapun berani baca ayat kursi dengan kuat dalam babak menghalau hantu. Lari juga hantu itu, tetapi dalam lakonanlah. Kalau situasi benar, silap-silap makhluk itu yang gelakkannya balik.

Berkejar ke surau itu sudah bagus, mengingati Allah itu sangat dipuji, namun mengapa tidak dikejar pahala jemaah yang dijanjikan pahala berganda? Bukankah peluangnya sudah terbuka, tinggal lagi untuk dilaksanakan sahaja. Tidak hairanlah orang kita suka berpecah dan berpuak di luar sana, kerana mereka sememangnya suka menjauhkan jemaah atau berjemaah. Jom ubah!

Oleh: Ustaz Mohammad Ashraf bin Ibrahim
ISMA DHL
Blog : TintaTaghyir

One comment on “Kenapa Solat Di Tepi Dinding?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *