Remaja Diajar Cintai Rasulullah s.a.w.

Bandar Baru Bangi, 26 Februari – Bertempat di Pejabat ISMA DHL, KRIM DHL telah berjaya menganjurkan Program Remaja Cintai Rasulullah saw bersempena MaulidurRasul yang bertujuan membawa remaja mengingati, mencintai dan menjadikan Rasulullah saw sebagai sebagai qudwah (ikutan) dalam kehidupan seharian.

Pengisian utama program ini disampaikan oleh Saudara Nazmie Abdul Razak yang berkisar tentang kemulian peribadi Rasulullah saw. Penyampaian yang diselangselikan dengan tayangan video-video teladan telah berjaya menarik perhatian remaja-remaja untuk menghayati keseluruhan penyampaian tersebut dengan penuh minat.

Pelengkap bagi sesi penyampaian Program Remaja Cintai Rasul adalah sesi bengkel yang mengutarakan beberapa persoalan berkenaan penerapan keperibadian Rasulullah dalam kehidupan seharian. Setiap kumpulan yang dibentuk akan diwakili oleh seorang remaja untuk membentangkan hasil perbincangan yang telah dibuat. Ternyata pembentangan tersebut telah membuktikan bahawa mereka memahami betapa pentingnya seorang remaja menjadikan Rasullah sebagai contoh ikutan dalam usaha mencapai kejayaan hidup yang sebenar di dunia dan akhirat.

Sebagai tanda ingatan daripada KRIM DHL, setiap remaja telah dihadiahkan dengan penanda buku yang bermotifkan cinta Rasulullah s.a.w. Diharapkan program kali ini berjaya menyegarkan kembali kecintaan remaja kepada Rasulullah dan menjadi titian KRIM DHL mendekati remaja masakini.

Mohd Yusri Ali
Ketua Biro Remaja ISMA DHL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *