Bandar Baru Bangi, 17 Mac – Tahun 800 sehingga 1300 Masihi telah menyaksikan kegemilangan Islam sebagai agama utama di sekitar Timur Tengah. Bahasa Arab ketika itu telah menjadi lingua franca bagi ilmu sains, matematik dan falsafah serta banyak lagi cabang-cabang ilmu, tidak ketinggalan juga ilmu ekonomi dan astronomi. Sumbangan Islam menerusi pengkajian dan pemerhatian dalam bidang Falak telah memberikan banyak manfaat kepada umat manusia sejagat.

Menyedari peri pentingnya pendedahan awal mengenai Sains dan Astronomi, Nadi Ashbal Wa Zahrawat (NAZIM) Cawangan DHL menyusun langkah dengan membawa para pesertanya melawat Planetarium Negara, Kuala Lumpur. Lawatan sempena cuti sekolah ini telah disertai oleh 30 banin dan 18 banat beserta 5 orang pengiring.

Keheningan pagi di Pejabat ISMA DHL telah dipecahkan dengan riuh rendah suara peserta yang tidak sabar-sabar lagi untuk berangkat ke destinasi yang dituju. Seawal jam 7.30 pagi lagi, para peserta telah berkumpul dan melaksanakan rutin perjumpaan iaitu mendirikan solat sunat Dhuha secara berjemaah. Selesai berjemaah, penerangan ringkas dan padat telah diberikan oleh Puan Nor Akhmar, dan seterusnya para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan.

Tepat jam 8.41 pagi, sebuah bas yang disewa khas untuk para peserta ini telah bertolak dimulai dengan bacaan doa naik kenderaan oleh para peserta. Perjalanan yang jauh dirasakan dekat kerana perasaan gembira melonjak-lonjak di dalam hati anak-anak ini, apatah lagi mereka turut disajikan dengan siri kartun animasi Bola Kampung sepanjang perjalanan ke Planetarium Negara.

Setibanya ke destinasi yang dituju, para peserta telah dibawa oleh para pengiring masuk ke dalam Bilik Tayangan untuk menyaksikan tayangan animasi ‘Ke Angkasa’. Tayangan yang cuma mengambil masa kira-kira 15 minit itu berjaya memberi mesej penting kepada para peserta agar sentiasa bercita-cita tinggi untuk mencapai apa yang diimpikan, sekalipun ianya penuh cabaran.

Selesai tayangan tersebut, para peserta telah dibawa ke bilik Aktiviti untuk mencipta ‘Buruj’ tersendiri. Di sini, para peserta didedahkan dengan ilmu tentang gugusan bintang-bintang di angkasa raya yang membentuk buruj-buruj, yang mana amat berguna kepada umat manusia amnya. Satu pertandingan mencipta buruj juga telah diadakan secara berkumpulan, yang mana menyaksikan kemenangan menyebelahi kumpulan buruj ayam jantan bagi pihak banin dan buruj ketupatis bagi kumpulan banan. Hadiah yang disediakan juga menarik – buku catatan dan pen Planetarium Negara!

Selain melihat pelbagai informasi yang disajikan mengenai ilmu Astronomi, para peserta juga dibenarkan untuk melihat panorama Kuala Lumpur di Balai Cerap ditingkat atas planetarium tersebut. Bilik Non-Gravity juga penuh dengan para peserta yang ingin merasai bagaimana keadaan sesuatu tempat yang mempunyai kurang tarikan graviti.

Setelah setengah hari mengembara ke seluruh ceruk Planetarium Negara, tibalah masanya untuk berangkat pulang ke rumah masing-masing. Bas yang membawa para peserta tiba di Bandar Baru Bangi tepat jam 12.45 tengahari. Sebelum bersurai, para peserta turut disajikan dengan hidangan tengahari yang menyelerakan. Semoga lawatan kali ini memberi manfaat yang banyak kepada para peserta. Tidak lupa juga sekalung tahniah diucapkan lepada barisan penganjur kerana berjaya mengatur satu program yang sangat baik ini! Semoga amal diterima Allah!

AJK NAZIM DHL

[Untuk mendapatkan maklumat tentang aktiviti NAZIM DHL pada masa akan datang, sila hubungi Puan Asma Ahmad: kosong_satu_sembilan-2412192]

1 thought on “NAZIM DHL Timba Ilmu di Planetarium Negara”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.