30 Oktober 2011 – Bandar Baru Bangi : Tanggal Hari Raya Eidul-Adha 1432H yang lepas, Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat (ISMA DHL) bersama Persatuan Belia Islam Cawangan Bangi (PEMBINA Bangi) telah menjayakan ibadah kurban dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Surau Al-Amirin, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi.


Menurut Pengarah projek kurban ISMA DHL / PEMBINA Bangi, yang juga merangkap Naib Yang Di-Pertua ISMA DHL, Tn. Hj. Mohamad Nor Sazelim Mohamad, “Projek kurban tahun ini adalah julung kali diadakan di peringkat cawangan di mana ahli-ahli dari syukbah-syukbah ISMA DHL terlibat secara langsung menyertai ibadah kurban bersama masyarakat setempat. Ini berbeza dengan tahun-tahun sudah di mana kita hanya terlibat sebagai wakil mengumpul dan menghantar wang kutipan ibadah kurban ke luar negara.” Ujarnya lagi, “Kita memilih untuk melibatkan diri di syukbah seksyen 4 tahun ini untuk merapatkan tali silaturrahim bersama masyarakat di syukbah di samping dapat mempromosikan jenama ISMA DHL dan PEMBINA Bangi di mata masyarakat.”

Satu pertiga daripada seekor daging sembelihan ibadah kurban ISMA DHL / PEMBINA Bangi disedekahkan kepada golongan fakir miskin di sekitar Bangi, manakala dua pertiga lagi diagihkan ke rumah-rumah penduduk setempat dan sebahagian dijamu kepada kariah yang terlibat menjayakan ibadah kurban.

Program ini turut disertai oleh Yang Di-Pertua ISMA DHL, Sdr Muhammad Noor Azib Asmangi. Menurut Saudara Azib, “Aktiviti gorong-royong merupakan asas kehidupan bermasyarakat, apatah lagi dalam ibadah kurban.” Beliau menambah, “Adalah diharapkan agar amal melalui syukbah ini dapat diperkembangkan lagi di syukbah-syukbah lain di seluruh cawangan ISMA DHL”.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.