Islam Menuntut Penjagaan Dan Pemeliharaan Kesihatan
BANDAR BARU BANGI, 18 Mac – Menjaga dan memelihara kesihatan adalah satu tuntutan dari sudut maqasid syariah, tegas Prof. Madya Dr. Azizi Ayob semasa menyampaikan kuliah subuh di Surau Al-Abrar, seksyen 7.
Prof. Madya Dr. Azizi Ayob, ahli ISMA DHL yang bekerja sebagai seorang penasihat teknikal korporat kepada sebuah syarikat dalam indutri farmaseutikal dan merupakan setiausaha Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik).
“Kita hari ini tidak seharusnya mudah tertipu dengan pelbagai dakwaan mengenai ubat tertentu yang berada di pasaran mampu mendatangkan kesan-kesan yang menakjubkan,” nasihat beliau sebagai seorang ahli farmakologi.
“Ramai umat Islam hari ini terdedah kepada pelbagai kesan-kesan sampingan disebabkan mempercayai dakwaan kesan-kesan menakjubkan daripada sesetengah ubat-ubatan di pasaran,” tambahnya lagi.
Dr. Azizi dengan rasa tanggungjawab sebagai salah seorang pengamal perubatan dan kesihatan turut berkongsi maklumat tentang bagaimana ubat-ubatan bertindak dalam sistem tubuh badan kita.
Mekanisma perubatan berfungsi dalam tubuh badan kita dijelaskan dengan bahasa yang mudah agar dapat difahami oleh ahli qariah Surau Al-Abrar.
ISMA DHL sangat menggalakkan perkongsian yang bermanfaat seperti ini diperbanyakkan oleh seluruh pengamal perubatan dan kesihatan.
Perkara sebegini seharusnya diamalkan juga oleh para professional dalam bidang lain agar kita dalam sama-sama membangunkan satu ummah kuat dan mempunyai agenda tersendiri.
Muhammad Faisal Kamarul Zaman
Wartawan Media ISMA DHL







