Pentingnya Kefahaman Yang Jelas Dalam Beramal Menuju Matlamat
BANDAR BARU BANGI, 22 Mac – “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sebelum mereka mengubah kelemahan mereka sendiri, dan kelemahan pertama yang kita perlu ubah adalah kefahaman kita” tegas Ustaz Annuar Salleh, JKP ISMA Pusat semasa menyampaikan siri kuliah tafaqquh fid deen di Surau Al-Islah, Taman Kajang Mewah semalam.
Siri kuliah Ustaz Annuar Salleh menyambung semula perbincangan bertajuk “Membina Kekuatan Ummah” dengan membawa ahli qariah untuk fokus kepada kepentingan kefahaman dalam membina kekuatan ummah.
“Persoalan yang penting adalah kefahaman yang jelas. Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan satu rangka kefahaman Islam melalui Usul 20,” ujar Ustaz Annuar Salleh memberi pendahuluan kepada pengajian kitab Risalah Ta’lim untuk siri kuliah akan datang.
“Kefahamanlah yang membentuk cara kita berfikir dan menjadi neraca kita berfikir,” katanya ketika mengingatkan semula bahawa kita bukan sekadar dituntut untuk beramal semata-mata tetapi perlu kepada kefahaman dalam beramal.
“Bendera Israel mempunyai syiar yahudi yang cukup jelas, mereka sangat bersemangat setiap kali melihat bendera mereka berkibar kerana mereka diperingatkan semula matlamat mereka ialah empayar daripada Sungai Nil ke Sungai Furat seperti mana 2 garisan dalam bendera mereka.” Terang Ustaz Annuar ketika memberikan contoh kefahaman yang jelas akan membawa kepada semangat dalam beramal.
“Begitu juga dengan bendera Islam pada zaman Rasulullah, dua kalimah syahadah pada bendera Rasulullah itu mengingatkan kaum muslimin akan matlamat dan kewajipan mereka menyampaikan Islam kepada seluruh muka bumi,” katanya lagi dalam memberikan contoh lain kepada kepentingan kefahaman yang jelas.
Ahli qariah juga diingatkan agar hadir secara tetap siri kuliahnya kerana perbincangan tajuk ini akan diteruskan dengan menggunakan Risalah Taklimat Hassan al-Banna dan mengupas tajuk Usul 20 dalam merangka kefahaman Islam yang syumul.
Ustaz Annuar Salleh turut mengingatkan bahawa membina kekuatan ummah harus berbalik kepada sirah rasulullah s.a.w. dan melakukan seperti mana yang rasulullah s.a.w. lakukan.
Beliau menyangkal pandangan sesetengah orang yang mengatakan kaedah rasulullah s.a.w. sudah tidak relevan dengan zaman ini.
“Kalau ia tidak relevan lagi, sia-sialah Allah menurunkan wahyu kepada rasulNya yang terakhir dan memilih para sahabat r.a. menjadi pendukung agama Allah dan mereka pula bersungguh-sungguh memelihara Islam sebagaimana yang mereka terima,” katanya.
“Persoalan yang harus ditanyakan ialah, bagaimana untuk kita lakukan satu duplikasi terhadap apa yang telah rasulullah s.a.w. lakukan,” ujarnya ketika mengingatkan semula tentang usaha Imam Hassan al-Banna dalam merangka satu kaedah perubahan untuk ummah hari ini.
Muhammad Faisal Kamarul Zaman
Wartawan Media ISMA DHL






