Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat

Siri Diskusi Intelek: Apa Yang Saya Faham Dari Pemikiran Islam Progresif

Oleh Dr Azizi Ayob

Latarbelakang

Artikel ini cuba membincangkan materi berkenaan pemikiran Islam progresif dan sikap kritis sebagai seorang muslim. Dan lebih tepat lagi bila penelitian ini mengambil kira sumber-sumber syariat islam yang mengesahkan bahawa maqasid utama syariat islam ialah untuk memberi kemaslahatan kepada manusia samada menarik maslahah (manfaat) tersebut atau menolak keburukan (mudharat) daripada manusia. Sudah pasti maqasid syariah tidak terlepas dalam membicarakan soal pemikiran islam yang terkini dan maju ini. Juga tulisan ini cuba menjawab beberapa persoalan dan pendapat penulis dari kumpulan tertentu yang membicarakan soal Islam Progresif dan kritis terhadap pemikiran keagamaan dan keintelektualan muslim yang dipaparkan di media elektronik baru-baru ini.

Pengenalan

Islam sebagai agama samawi (langit) berfungsi sebagai penunjuk jalan bagi umat manusia, melepaskan mereka dari berbagai macam sistem kehidupan yang gelap dan pelbagai bentuk ‘ilah’ yang jauh tersesat. Islam membawa manusia menuju ke sistem kehidupan yang syumul dan dengan menjadikan hanya Allah sebagai RobbuJalil. Ini artinya bahwa agama merupakan sistem hidup yang sangat bersifat mengubah kehidupan manusia dan mengajarkan manusia untuk berbuat perubahan diri-sendiri, keluarga dan masyarakat serta mengeluarkannya dari tatasusila yang menyesatkan atau kejahilan.

“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji”  Ibrahim ayat 1.

Pemikiran Islam Progresif

Meninjau perspektif modern dan pemikiran Islam progresif masa kini, penulis berpandangan bahawa terdapat kecenderungan baru yang muncul di kalangan segelintir pemikir Islam untuk membuka gelanggang perbincangan baru yang terlalu bebas, luas dan liberal.  Ini dilihat sebagai suatu kesempatan kepada bentuk pendekatan atau approach dalam program Islamisasi yang bersifat konvensional, samaada kaedah yang digunakan oleh golongan tradisionalis, modernis, reformis dan juga liberal. Apabila pandangan dan terjemahan Islam progresif itu dikutip dari pelbagai sumber dan jauh menyimpang dari fahaman Syariah Islam, maka akan timbul pelbagai kekeliruan lebih-lebih lagi bila bersumber dari pendapat individu tertentu yang yang berpendidikan dan berfikiran barat atau orientalis. Lebih merungsingkan bila bukan Islam pula dijadikan sandaran dan sebagai ‘scholar’ dalam menterjemahkan aspek pemikiran Islam modern ini.

Penulis amat meyakini syariah Islam itulah paksi dalam pemikiran Islam progresif dalam pelbagai aspek kehidupan seorang muslim. Kita wajib meyakini bahwa sumber rujukan kita dalam memperkatakan perbezaan ideologi ini seharusnya bersandarkan pada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama’ dan Qias. Asas-asas sumber ilmu Islam ini akan tetap mengembalikan metodologi pemikiran yang kehadapan dan pragmatis, bersifat ‘hidup’ dan dinamik bukan suatu usaha yang jumud atau beku. Peranan syariah sebagai jalan atau the way untuk mendidik penganutnya supaya berkiblatkan kepada ilah yang satu, yakni Allah swt sebagaimana firmanNya:

“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka – wahai Muhammad – kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)”. (Asy-Syuura 42:15)

Kehebatan pemikiran umat Islam itu terletak pada cara mereka memahami ajaran agama itu sendiri. Oleh yang demikian, dengan bersandarkan kaedah (huraian seperti) diatas itu, pemikiran seorang Muslim itu tidak ‘terhambat’ dalam kacamata yang amat sempit. Lantas kita menganggap seorang Muslim yang tinggi disiplin dan faham agamanya itu akan jauh dari kemajuan atau istilahnya ‘non-progresif Muslim’. Ini pastinya tidak benar. Sesetengah pihak lantas mengkritik keadaan ini dan melihat berlakunya kebuntuan keintelektualan dikalangan gerakan Islam. Adakah betul tanggapan ini? Atas dasar apakah kesimpulan ini dihasilkan? Adakah ini bentuk ‘penyakit’ yang betul-betul muncul dikalangan ahli gerakan Islam?

Pendapat tersebut masih perlu diperbetulkan. Sebagai orang yang beriman, kitalah penggerak dan penegak keadilan dan memperbetulkan salah tanggap tersebut. Ini juga termasuk dalam ruang lingkup pemikiran yang bersendikan syariah islamiah itu sendiri. Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap diri sendiri afau ibu bapak dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” (an-Nisa': 135)

Pemikiran Dan Sikap Kritis

 

Dalam pembacaan umum istilah kritikal sering dikaitkan dengan perkataan Greek kritikos yang bermaksud menghakimi atau mengadili. Dalam sejarah orang-orang Greek dan Yunani pula, mereka melahirkan pemikir-pemikir yang amat kritikal dan kreatif terhadap sesuatu subjek dan akhirnya menjadi ahli falsafah yang terkenal. Walaubagaimanapun, mereka tidak menjadikan agama sebagai dasar pemikiran kritis tersebut. Juga kita mengenali ramai pemikir-pemikir barat menjadikan asas berfikir seperti Aristotle, Plato dan Socrates sebagai landasan mengembangkan cara berfikir, ilmu, kefahaman harian serta kehidupan.

Bagaimana pula kita sebagai muslim? Dalam praktik Islam hari ini, pemikiran kritis memang menjadi landasan dan asas dalam memperkembangkan sesuatu ilmu itu. Begitu juga dalam soal membuat sesuatu keputusan seperti tafsir, takwil, fatwa, ijtihad dan qias. Menafsir al-Quran dan al-hadis sebagai contoh, dilakukan secara kritikal supaya hasil pentafsiran itu selari dengan kebenaran dan tujuan turunnya wahyu tuhan sebagai ‘maqasid syara’  dan suruhan rasul itu. Pentafsiran kedua-dua sumber ini perlulah mereka yang ahli dalam bidang-bidang seperti ilmu bahasa Arab dan tafsir, Mantiq dan lughoh, ilmu hadis serta sanadnya dan ilmu khusus pentafsiran. Bilamana metodologi ini jelas, maka pentafsiran itu mudah diterima dan diamalkan.

Dalam membincang materi ini, Prof. Dr Sidek Baba pernah mengungkap “Kebenaran dalam Islam merujuk kepada sumber naqliah atau sumber wahyu. Wahyu adalah autoriti atau sumber yang tertinggi dalam memandu manusia berfikir supaya kebenaran yang diterima tidak saja zahir tetapi memberi makna yang hakiki”. Ini berlamsud kebenaran dan arahan yang diterima itu membawa manusia menjadi insan muslim yang taat, mengenali tuhanNya dan maju dalam pelbagai kehidupan dan jauh dari kesesatan. Perkara ini jelas dan selari dengan hadis riwayat Imam Muslim (dari jabir):

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku”

Berfikir secara kritis membimbing pemikir muslim ke arah kebenaran yang lebih diredhai oleh tuhan, bukan secara ‘semborono’ lantas merasa takjub dengan buah fikiran yang jauh menyimpang. Puncak kepada berfikir menemukan manusia mengenal yang hak dan bukannya berkiblatkan ideologi barat, orientalis dan yang terkini fahaman liberalisme, pluralism dan lain-lain lagi. Tidak harus berlakunya tafsiran peribadi dari sumber akal (Aqliah) semata-mata atas dasar logik dan kritis! Itu bukan caranya.

Inilah kegusaran yang berlaku pada hari ini bila sesetengah golongan intelek memerah otak mereka untuk melahirkan tafsiran semula Al-Quran dan Sunnah dari perpektif yang jauh dari metodologi Islam itu. Imej Islam sama sekali tercalar dan salahfaham ini berterusan dalam masyarakat jika pemikiran kritis sebegini diketengahkan. Penulis menegaskan bahawa keupayaan untuk ‘review and revisit thinking’ dan melakukan penambah-baikan dalam kaedah pemikiran ini dan mengambil kira konsep berkhilaf pendapat, itu sebenarya adalah sebahagian dari proses pemikiran kritis dan progresif serta selari dengan Islam. Islam sama sekali tidak menyekat pola pemikiran progresif sebegini. Cuma sumber-sumber asas Islam itu perlu jelas.

Tidak timbul samasekali jika, ilmu wahyu ini diimani dengan sebaiknya, intelektual muslim akan terhambat atau terkorupsi pemikirannya. Malah korupsi intelektual ini berlaku bila kita membenarkan ideologi pemikiran yang telalu ‘bebas’ dan ‘lepas’ dan mentafsir semula mengikut pola pemikiran baru semata-mata. Sedangkan agama itu terjamin kesyumulan dalam pelbagai perspektif pemikiran. Kita meyakini Islam itu lengkap dan sempurna serta mencakupi juga ruang linkup pemikiran sebagaimana firman Allah:

“Pada hari ini telah Ku-sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam jadi agama bagimu”. surah Al-Maidah ayat 3         

 

Prof. Dr Sidek Baba juga menegaskan, “Proses berfikir kritikal membolehkan seseorang membezakan yang benar dengan yang salah, yang buruk dengan yang baik, yang bermanfaat dan bermusibat, yang memberi faedah atau mendatangkan padah dan sebagainya. Sudah tentu asas yang memberikan kemampuan seseorang berfikir kritikal ialah ilmu, maklumat, pengalaman, pertukaran pandangan dan dalam tradisi Islam diakhiri dengan hikmah. Hikmahlah merupakan jalan terbaik membimbing manusia menemui kebenaran.”

——————– Bersambung di Bahagian 2 ——————–

Prof. Madya Dr. Azizi Ayob
Setiausaha I-Medik
Pengerusi I-Medik Selangor / Wilayah Perseketuan 

 

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi Kami

No. Telefon: 011-37394535

Website: http://ismadhl.com

Emel: syed.zahirudin@gmail.com

Google+

Ikuti Kami

north face jacket sale, ralph lauren sale, louis vuttion bags uk, michael kors bags uk, moncler outlet uk, ralph lauren online shop, cheap ralph lauren, christian louboutin sale, louis vuttion outlet, ralph lauren online