Pemakanan Membentuk Jatidiri Anak-anak
HULU LANGAT, 22 April – “Makanan yang halal lagi bersih sangat perlu dititiberatkan oleh ibu bapa terutamanya dalam membina keluarga yang soleh dan cemerlang,” kata Ustazah Wan Nazidah bt Saikh Omar, Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Ustazah Nazidah berpesan kepada semua hadirin supaya sentiasa mengambilberat tentang sumber makanan yang diambil iaitu bermula dari wang yang diperolehi samada halal atau tidak.
“Ini kerana walaupun sesaat masa bekerja kita digunakan untuk perkara selain daripada sepatutnya, ia turut memberi kesan kepada rezeki yang kita perolehi nanti”, tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk “pengaruh makanan dalam pembentukan syaksiah remaja” di dalam Seminar Ibu Bapa Soleh Anak Cemerlang (ISAC) anjuran Biro Wanita Keluarga ISMA Cawangan Hulu Langat bertempat di Dewan Dato Nazir, batu 14 di sini.
“Pembentukan anak-anak dipengaruhi oleh empat perkara iaitu makanan yang halal, kebersihan peralatan yang digunakan, cara pengendalian serta penyimpanan dan sumber mendapatkan makanan,” katanya.
“Perkara tersebut perlu mula diamalkan ketika ibu mengandungkan anaknya lagi. Ini kerana, segala perbuatan dan cara pemakanan ibu yang mengandung turut memberi kesan kepada bayi,” jelas beliau.
Beliau mengingatkan kepada hadirin supaya penyediaan makanan kepada anak-anak di rumah mestilah disediakan oleh ibu sendiri.
“Dengan iringan doa dan selawat, ia boleh mempengaruhi sesiapa yang memakan makanan tersebut. Ketika berdoa, mohonlah apa saja yang baik untuk anak-anak serta keluarga. Doa seorang ibu adalah mustajab,” tambah beliau.
Ustazah Nazidah juga memberi petua pemakanan mengikut sunnah nabi iaitu memakan tamar, madu dan susu setiap pagi dan petang.
“Makanan yang baik akan meningkatkan ketaqwaan kepada Alah dan membentuk peribadi yang baik dengan mengamalkan adab-adab sebelum, semasa dan selepas makan,” kata Ustazah Nazidah.






