Remaja Perlu Bimbingan Ibu Bapa
HULU LANGAT, 25 April – Remaja merupakan golongan yang lemah. Mereka memerlukan bimbingan daripada ibubapa sebagaimana kanak-kanak ketika fasa belajar berjalan, jelas Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin, Penolong Kanan Bina Syaksiah SMA Hira Shah Alam.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi tips dan pengalamannya mendidik remaja di Seminar Ibubapa Soleh Anak Cemerlang (ISAC), dalam slot “Psikologi Remaja dan Pembentukan Jatidiri”.
Tambah beliau lagi, setiap orang samada ibubapa, guru atau sesiapa sahaja mestilah memiliki empat formula iaitu menjadi seorang ibu atau bapa, menjadi syeikh (orang yang sentiasa dekat dengan Allah), menjadi guru atau ustaz, dan menjadi pemimpin.
Seminar yang dianjurkan oleh Biro Wanita & Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Hulu Langat, ini mengandungi 3 slot iaitu Slot “Pengaruh Makanan Dalam Pembentukan Syaksiyyah Remaja”, slot “Psikologi Remaja dan Pembentukan Jatidiri” dan slot forum yang mengupas mengenai “Stress Remaja”.
Menurut ahli panel forum, komunikasi yang baik antara remaja dan ibubapa amat penting dalam memastikan anak remaja tidak menjadikan orang lain sebagai mentornya dan ibubapa juga harus menitikberatkan pemakanan yang baik untuk anak-anak.
Slot forum ini telah menampilkan Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Ahli Jawatankuasa Pusat I-Medik sebagai moderator, Ustaz Mohamad Ismail, Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA, dan Dr Nor Azyati bt Yusoff, Pegawai Perubatan Hospital Serdang sebagai panelis.
Dalam slot “Pengaruh makanan dalam pembentukan syaksiyyah remaja”, Ustazah Wan Nazidah bt Saikh Omar selaku penceramah jemputan menekankan kepentingan ibubapa memastikan sumber makanan yang diperolehi adalah yang halal dan bersih.
Beliau juga mengingatkan ibubapa, dan remaja agar memilih premis-premis yang dijamin halal dan tidak terikut-ikut dengan budaya luar.
Seminar ISAC yang dihadiri oleh hampir 70 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat telah diadakan di Dewan Dato’ Nazir Batu 14, pada 21 April yang lalu.
Seminar ini bertujuan untuk memberi panduan kepada ibu bapa, penjaga serta pendidik tentang kaedah yang terbaik untuk mendidik anak-anak remaja seperti yang digariskan oleh Islam.








