Memahami Perkembangan Islam Meluaskan Kefahaman Penyelewengan Hari Ini
BANDAR BARU BANGI, 12 Mei – Program Daurah Asas Ulum Syarak (DAUS) diteruskan dengan siri ke-3 yang dihadiri oleh mahasiswa-mahasiswa daripada institut pengajian tinggi sekitar Hulu Langat, bertempat di pejabat Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat (ISMA DHL).
Ustaz Salman al-Farisi yang merupakan lulusan Universiti al-Azhar, yang merupakan pegawai biro tarbiyah ISMA Pusat menyentuh tentang aspek perkembangan Islam di muka bumi dan bagaimana terjadinya pelbagai aliran mazhab dalam ilmu fiqh
“Terdapat banyak ajaran-ajaran sesat yang wujud merosakkan aqidah sebahagian umat Islam daripada dulu hingga kini,” terang Ustaz Salman lagi.
“Penyampaian Ustaz Salman sangat tersusun dan penuh dengan informasi, menjadikan program ini membuka minda dan pengetahuan saya,” kata saudara Syed yang merupakan salah seorang peserta program tersebut.
Ustaz Salman telah memberi penerangan secara sistematik dengan membahagikan perkembangan Islam melalui fasa-fasa berikut; zaman Nubuwwah – zaman Khulafa Rasyidin – zaman Bani Umayyah – zaman Bani Abbasiyyah – zaman Uthmaniyyah.
Para peserta juga turut dibentangkan dengan sejarah ringkas perjalanan dakwah dan penyusunan ilmu fiqh oleh empat imam mazhab terbesar; Imam Syafi’e, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan Imam Hambali.
“Tiap-tiap mazhab mempunyai khilaf dalam hal-hal tertentu, maka jika taksub pada seseorang atau fahaman ia akan membawa kepada keburukan,” terang Ustaz Salman lagi.
“Antara keburukannya ialah wujudnya ajaran sesat dan ia terbukti seperti apa yang diketahui umum masa kini; ajaran Syiah yang menular dan menjadi duri dalam daging terhadap kekuatan umat Islam dari dulu hingga dewasa ini,” jelasnya.
ISMA DHL berharap program sebegini dapat memberi sedikit sebanyak panduan buat para peserta dan dapat membangkitkan umat daripada kelesuan menghadapi arus kehidupan yang mencabar.
Disunting oleh:
Muhammad Faisal Bin Kamarul Zaman
Wartawan ISMA






