Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat

Artikel | Lupa Akibat Syaitan?

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 20 ogos 2014 dengan isu seorang bapa yang telah meninggalkan anaknya Muhammad Aqil Arfan (4 tahun) ditemui sudah tidak bernyawa dalam kereta milik bapanya sendiri. Muhammad Aqil Arfan ditinggalkan bapanya secara tidak sengaja selama lebih lapan jam di kawasan letak kenderaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kuala Nerang, Kedah. Bapanya, Adnan Salleh, 40-an, yang merupakan guru agama di sekolah tersebut meninggalkan Muhammad Aqil Arfan di dalam kereta sebaik sahaja sampai di sekolah untuk mengajar kira-kira pukul 7.30 pagi.

Kejadian atau kes lupa anak dalam kereta ini bukanlah kali pertama yang pernah berlaku di Malaysia. Mungkin juga ada kes-kes lupa anak yang berlaku dengan situasi yang serupa atau berbeza yang tidak dilaporkan dalam media. Isunya mengapa seorang ayah atau ibu boleh sanggup melupakan anak sendiri. Sedangkan bagi seorang yang berfikiran waras tidak akan sanggup untuk membunuh anaknya atau disakiti oleh ibu bapa sendiri atau oleh orang lain.

Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001) memperuntukkan Seksyen 31, bagi kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dan Seksyen 33 berhubung kesalahan ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan dan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang sepatutnya. Jika didapati bersalah dan disabitkan kesalahan, ibu bapa atau penjaga boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. Hak-hak dan keutamaan kanak-kanak mestilah dijaga dengan sebaik-baiknya.

APAKAH PENYAKIT LUPA?

Definisi lupa mengikut Kamus Dewan edisi ke empat adalah lemah ingatan, lalai atau tidak sedar. Penyakit lupa adalah simpton yang boleh belaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan bangsa. Lupa dan nyanyuk adalah dua perkara yang berbeza. Nyanyuk kebiasaanya dihidapi oleh golongan yang berusia. Dari aspek perubatan, lupa dikenali sebagai amenia. Terdapat beberapa jenis lupa yang biasa dialami oleh masyarakat. Antaranya adalah:

  1. Lupa secara spontan akibat individu yang gemar meremehkan atau mengabaikan sesuatu dan cuai.
  2. Sindrom otak pascatraumatik yang berlaku akibat gegaran otak.
  3. Sindrom otak organik yang berlaku kerana penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol atau pengambilan ubat melebihi dos.

Daripada perspektif Islam, syaitan juga memainkan peranan besar dalam membuatkan manusia lupa. Perkara ini dapat dibuktikan dalam kisah Nabi Musa bersama pembantunya ketika dalam perjalanan untuk mencari Nabi Khidir. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran:

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupa hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.(al-Kahfi: 63)

Firman Allah lain dalam al-Quran yang berkenaan peranan syaitan yang berjaya membuat manusia lupa adalah seperti berikut:

Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah (al-Mujadilah:19)

BAGAIMANA KAEDAH MENGATASI DAN RAWATAN PENYAKIT LUPA?

Pelbagai ikhtiar telah dilakukan oleh masyarakat untuk mengekalkan ingatan seperti mengamalkan makanan yang sihat seperti makan kismis hitam, buah delima, kekacang dan lain-lain. Gaya hidup yang sihat iaitu tidak mengambil alkohol, bijak mengawal stres serta emosi dan pengambilan dos ubat terkawal adalah merupakan salah satu cara lain, mengekalkan ingatan individu. Amalan penerang hati atau doa adalah kaedah biasa yang sentiasa harus diamalkan bagi mengelakkan diri daripada masalah lupa. Allah jualah tempat pergantungan manusia daripada sifat pelupa. Antara kaedah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w adalah:

  1. Baca Ta’awwuz (a’uzubillahi minasy syaitonir rajiim) sebanyak tiga kali dengan tujuan untuk menghindarkan daripada syaitan yang menutup ingatan manusia
  2. Membaca surah al-Fatihah (sebaik-baiknya dibaca tujuh kali)
  3. Beristighfar kerana ia dapat menghilangkan dosa-dosa kecil
  4. Berselawat kerana ia mengundang rahmat Allah
  5. Berzikir mengingati Allah, ucaplah kalimah La Haula Wala Quwwata Illa Billah agar Allah melindungi kita daripada gangguan syaitan yang menyebabkan kita lupa.
  6. Mengamalkan bacaan surah al-Insyirah sebelum tidur dan selepas bangun daripada tidur.
  7. Mengamalkan doa penerang hati seperti doa mengelak menjadi pelupa iaitu:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَأَرْضِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah buat kami jangan Engkau kurangkan, muliakanlah kami jangan dihina, berilah buat kami jangan ditahannya, dan pilihlah kami jangan Engkau biarkan, dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.” (Riwayat Ahmad no. 224) {Menurut al-Tirmizi, al-Nasa’i dan al-Hakim, doa ini dibaca oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebaik sahaja selesai menerima wahyu}.

KESIMPULAN

Sifat lupa merupakan fitrah setiap insan. Perkataan “insan” itu sendiri, adalah berasal daripada akar kata perkataan Arab “nisyan” iaitu kelupaan. Akar kata perkataan insan yang mengaitkannya dengan “lupa” menjelaskan mengenai tabiat atau sifat manusia itu sendiri yang selalu bersifat pelupa atau lupa. Sebenarnya lupa boleh dijadikan terapi supaya seseorang boleh meneruskan kehidupan tanpa menoleh kebelakang dan hidup dalam kesedihan atau kemurungan. Antara hikmah lupa adalah seperti membolehkan manusia meneruskan kehidupan walaupun pernah mengalami masalah yang besar, atau pengalaman pahit dalam kehidupan. Seorang ibu tidak pernah serik melahirkan anak, dan seolah-olah lupa pengalaman kesakitan melahirkan anak. Manusia juga dijadikan lupa dengan kesedihan kematian orang tersayang, supaya kehidupan seseorang dapat diteruskan. Namun penyakit lupa yang serius mesti dikawal atau dielakkan agar kita tidak terjebak dengan permainan syaitan. Kes Muhammad Aqil Arfan ditinggalkan bapanya secara tidak sengaja disebabkan masalah terlupa. Walaupun kes ini adalah tidak disengajakan, namun ia merupakan satu peristiwa yang perlu diambil perhatian oleh semua lapisan masyarakat, agar kes-kes seumpama ini tidak berulang lagi. Syaitan akan sentiasa menyebabkan manusia lupa dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi iaitu menjalankan tanggungjawab dan amanah di muka bumi. Oleh itu, kita mestilah sentiasa memohon kepada Allah agar dilindungi dan diampuni dosa akibat terlupa.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi Kami

No. Telefon: 011-37394535

Website: http://ismadhl.com

Emel: syed.zahirudin@gmail.com

Google+

Ikuti Kami

north face jacket sale, ralph lauren sale, louis vuttion bags uk, michael kors bags uk, moncler outlet uk, ralph lauren online shop, cheap ralph lauren, christian louboutin sale, louis vuttion outlet, ralph lauren online