Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat

Ayuh Renungkan Kembali 7 Wasiat Raja-Raja Melayu

Kebanyakan generasi baru sekarang kurang menyedari kehadiran tujuh (7) wasiat Raja-Raja Melayu yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu semasa menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 [1]. Wasiat daripada sembilan Raja Melayu itu terdiri daripada empat Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu [2].

Wasiat inilah yang menjadi asas kepada perlembagaan persekutuan Malaysia kini. Wasiat ini sangat penting kerana sultan sebagai ketua negara ketika itu bertanggungjawab menjaga penduduk tanah melayu yang beragama Islam yang merupakan rakyat asal [3] sehingga agama Islam begitu berakar umbi di Tanah Melayu sehingga kini.

Raja Nazrin pernah bertitah yang berbunyi, “Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai lokus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” baginda merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1) [4].

wasiat sultan

Berikut merupakan butiran 7 wasiat tersebut [5]:

“Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.”

7 perkara itu adalah:

Pertama: Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA);

Kedua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Ketiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Keempat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

Kelima: Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan;

Keenam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU; dan

Ketujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Dan bagi memastikan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu ini dipelihara dan dilaksanakan, maka peruntukkan mengenainya telah digubal didalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 1; Perkara 89; Perkara 32; Perkara 3; Perkara 152; Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972; dan Perkara 153 dan lain-lain. Peruntukkan-peruntukkan ini tidak boleh sama-sekali dipinda, diubah, dibatalkan atau dimansuhkan kecuali dengan izin, persetujuan dan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan tiap-tiap Baginda Tuanku Sultan yang memerintah yang bersidang sepenuhnya [6].

wasiat sultan 2

7 Wasiat yang diterjemahkan dalam perlembagaan persekutuan adalah [7]:

  1. Malaysia –Perkara 1 (Nama, Negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan)
    –> Persekutuan dinamai Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negerinya terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
  2. Tanah Simpanan Melayu – Perkara 89 (Tanah Rizab Orang Melayu)
    –> Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab orang Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen.
  3. Rejimen Askar Melayu – Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972
    –> Seksyen tersebut menyatakan “Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil masuk ke dalam Askar Melayu Diraja”. Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja terdiri daripada 23 orang dan meningkat kepada 2 batalion pada tahun 1941. Askar Melayu Diraja pernah berperang dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura dalam Perang Dunia Kedua. Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udara, darat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum. Askar Melayu Diraja hanya satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.
  4. Raja-Raja Melayu – Perkara 32 (Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan dan Permaisurinya)
    –> Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima tahun.
  5. ISLAM – Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan)
    –> Islam ialah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja/Sultan di setiap negeri ialah Ketua Agama Islam bagi negerinya dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja/Sultan, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua Agama Islam negeri itu termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
  6. Bahasa Melayu – Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan)
    –> Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Pindaan kepada perkara ini tidak boleh diluluskan dengan tiada perkenan Majlis Raja-Raja.
  7. Kedudukan Istimewa Orang Melayu Dan Kepentingan Sah Kaum-Kaum Lain – Perkara 153 (Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit dan Sebagainya untuk Orang Melayu)
    –> Perlembagaan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rizab kuota orang Melayu dan bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

Walau bagaimanapun seiring masa yang berlalu, pelbagai fahaman yang bertentangan dengan agama Islam kian meresap di bumi Islam ini. Hal ini mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia. Justeru, pentingnya untuk setiap rakyat Malaysia untuk menghayati 7 wasiat ini agar semua rakyat Malaysia walaupun berlainan agama dan bangsa, mampu hidup dengan harmoni, aman dan tenteram di negara Malaysia yang bertuah ini tanpa berlaku rusuhan kaum [8] yang pernah menjadi sejarah yang mendukacitakan bagi rakyat Malaysia. Justeru, janganlah sesekali kita melupakan sejarah kerana dari sejarahlah kita beroleh banyak pengajaran untuk menghadapi masa kini dan akan datang.

Sumber:
1. http://www.harianblogger.com/mesti-baca-tujuh-wasiat-raja-raja-melayu/
2. Ibid
3. Ibid
4. http://bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=430721
5. http://zul4kulim.blogspot.com/2014/09/sembang-merdeka-7-wasiat-raja-raja.html
6. http://zul4kulim.blogspot.com/2014/09/sembang-merdeka-7-wasiat-raja-raja.html
7. Wasiat Raja-Raja Melayu Terbitan Jabatan Penerangan Malaysia. B.002 (B.M.) Januari 2013 (100.)
8. Rusuhan Kaum 13 Mei 1969

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi Kami

No. Telefon: 011-37394535

Website: http://ismadhl.com

Emel: syed.zahirudin@gmail.com

Google+

Ikuti Kami

north face jacket sale, ralph lauren sale, louis vuttion bags uk, michael kors bags uk, moncler outlet uk, ralph lauren online shop, cheap ralph lauren, christian louboutin sale, louis vuttion outlet, ralph lauren online