BANGSA MELAYU PERLU BANGGA MEMILIH ISLAM SEBAGAI PEGANGAN HIDUP

 

 

 

740106492_10373

BANGI, 19 Februari – Mengaitkan umat Islam di Malaysia dengan pegangan Hindu adalah satu sejarah yang salah, sebaliknya masyarakat Melayu hari ini perlu berbangga kerana telah memilih Islam sebagai pegangan hidup sejak dari zaman nenek moyang dahulu ujar penceramah bebas, Ustaz Fauzi Asmuni selaku Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia.

Dalam ceramah bulanan Tafaqquh Fiddin di Surau Al-Islah, Taman Kajang Mewah semalam, Ustaz Fauzi menyentuh isu bangsa Melayu pada zaman dahulu iaitu ketika kedatangan Islam telah mengambil ajaran Islam sebagai pegangan hidup dari segi aqidah dan falsafah sehingga ke terasnya sendiri. Manakala kesan Hindu kepada masyarakat Melayu hanyalah diambil secara lapisan yang nipis dan tidak secara teras.

Beliau menerangkan bahawa kesan pengaruh Arab itu lebih kuat jika ingin dibandingkan kesan pengaruh Hindu dalam masyarakat Melayu. Kedatangan Islam oleh pedagang Arab dari Yaman lebih memberi pegaruh kepada bangsa Melayu. Kesan itu dapat dilihat kepada pemakaian baju Melayu yang sehingga kini menjadi pakaian kebiasaan dan juga pada musim perayaan oleh masyarakat Melayu. Pakaian tersebut mirip kepada pakaian Arab dari Yaman, cuma terdapat perbezaan pada cara pemakaian.

Pengaruh Arab ini juga dapat dilihat memberi kesan kepada masyarakat Melayu pada zaman dahulu dari segi bahasa dan tulisan. Masyarakat Melayu menggunakan tulisan Jawi yang sebenarnya berasal dari tulisan yang terdapat di dalam Al-Quran yang jika kita lihat mempunyai persamaan yang jelas. Manakala pada penggunaan bahasa pula, banyak perkataan dalam Bahasa Melayu itu berasal dari perkataan Arab. Sebagai contoh, sejadah, kalimah, solat, mesyuarat dan banyak lagi.

Ustaz Fauzi menyimpulkan bahawa kedatangan Hindu ke Tanah Melayu hanyalah sebagai satu noktah dalam sejarah dan ajaran itu telah lama ditinggalkan. Masyarakat Melayu hari ini perlu berbangga menjadikan Islam sebagai pegangan hidup.

Wartawan ISMA DHL

Nur Syuhada Mohd Ataa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *