Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat

Menuju Kesempurnaan Diri

usrah umum

Hari ini perlu lebih baik daripada semalam. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam, alangkah ruginya hidup seseorang itu.

Teringat akan satu catitan, daripda Ibrahim al-Harbi, seorang muhaddis (ahli Hadis) berkata :

“Aku telah menemani Imam Ahmad bin Hanbal selama 20 tahun, musim gugur mahu pun musim luruh , musim panas mahu pun musim dingin, di malam dan di siang hari, sungguh aku tidak mendapatinya suatu hari kecuali hari itu lebih bertambah (kebaikannya) dari hari kemarin.”

(Manaqib Ahmad bin Hanbal, 5/14, Ibnul Jauzi).

Inilah tauladan yang perlu kita contohi dan praktiskan iaitulah  sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan kita, ahli keluarga, sahabat dan saudara-mara ke arah yang lebih baik.

Lalu bagaimanakah untuk kita memastikan diri kita sentiasa menjadi lebih baik? Mari ikuti 5 M yang akan diterangkan selepas ini.

  1. Muahadah

Muahadah bermaksud ikatan perjanjian. Sebelum dilahirkan ke dunia, manusia sebenarnya sudah pun berjanji dengan Allah untuk menyembah hanyasanya Allah. Demikian firman Allah mengkhabarkan kepada kita dalam surah Al-A’raf, ayat 172 yang bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (172)

 Begitu juga janji setia yang kita ucapkan dalam surah Al-Fatihah, ayat ke-5 yang sering kita ulang-ulang di dalam dan di luar sembahyang kita yang maksudnya:  “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan” (5).

Ditambah pula dengan ikrar kita di dalam solat: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam”.

  1. Mujahadah

Kita pastinya tidak akan dapat melaksanakan janji dan ikrar kita melainkan dengan Mujahadah. Mujahadah ini berasal daripada perkataan juhdi yang bermaksud bersungguh-sungguh. Kita pastinya memerlukan kesungguhan kerana untuk melaksanakan janji, kita perlu melawan nafsu yang diibaratkan oleh Imam Al-Ghazali rh. umpama bayi yang menyusu. Jika tidak dipaksakan untuk berhenti menyusu, bayi akan terus menyusu. Begitu juga nafsu, ia akan terus meminta untuk dituruti sehinggalah kita bersungguh untuk berhenti menurutinya.

Hayatilah firman Allah swt dalam surah Al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud: “Mereka yang bersungguh-sungguh di jalan kami , akan kami tunjukkan kepada mereka  jalan kami”.

Muroqabah bermaksud merasai akan pengawasan Allah swt. Hakikat Muroqabah ini satu digambarkan melalui sebahagian sabda baginda Nabi saw perihal Ihsan yang bermaksud, “Iaitu bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, kalau engkau tidak dapat melihat-Nya (memang engkau tidak melihat-Nya), maka sesungguhnya Dia dapat melihat engkau”.

Inilah yang digambarkan dengan pengawasan Allah terhadap diri kita. Sekiranya kita dapat benar-benar merasai seperti sikap ihsan ini, maka sudah tentu kita akan malu dan takut untuk melakukan maksiat dan dosa. Bagaimana mungkin seorang hamba yang kerdil mampu melakukan dosa sedangkan dia sedar akan murka Allah swt yang setiap detik memerhatikannya. Seorang hamba itu hanya akan benar-benar mampu melaksanakan Mujahadah selepas dia memahami hakikat Muroqobah.

Sebagai manusia, pastinya kita tidak dapat lari daripada terlanjur melakukan dosa dan kesilapan. Hakikat ini disebut sendiri oleh baginda Nabi saw dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak cucu Adam pasti pernah berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah ialah yang banyak bertaubat.” (HR. Tirmidzi). Maka di sinilah perlunya kita melaksanakan Muhasabah iaitu merenung dan menginsafi ketelanjuran dosa dan maksiat yang pernah kita lakukan dengan memohon keampunan daripada Allah swt dan menanam tekad dan azam untuk tidak mengulanginya lagi. Dan ketahuilah motivasi paling kuat untuk kita melakukan Muhasabah adalah kematian kita sendiri.

Kematian yang datangnya tidak pernah lewat atau cepat walaupun sedetik pastinya membuatkan kita sentiasa berwaspada dalam amal perbuatan kita. Setiap dosa yang kita lakukan, segera kita pohon keampunan dan setiap amal kita yang kurang, akan segera kita laksanakan kerana tiada siapa yang dapat mengetahui akan bila ajal kematiannya.

Jadilah orang yang bijak sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud: “Orang yang bijak ialah siapa yang menghisab dirinya dan beramal untuk (bekalan) selepas mati. Sedangkan orang yang gagal adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada (pemberian) Allah.” ( HR Ibn Majah dan Imam Ahmad).

Rentetan daripada Muhasabah yang kita lakukan, Muaqabah bermaksud kita mendenda diri kita sendiri sekiranya kita ada melakukan perkara dosa dan maksiat. Contohnya, kita terlewat bangun subuh dan tidak berjemaah di masjid, lalu kita mendenda diri kita dengan melakukan solat dhuha lebih daripada bilangan rakaat yang selalu dilakukan.

Hikmah besar dalam kita melaksanakan Muaqabah adalah kita melatih diri kita untuk tidak bermudah dalam perkara maksiat dan kita berharap kebaikan yang kita lakukan dapat menghapuskan dosa yang kita terlanjur sebagaimana difirmankan oleh Allah swt dalam surah Hud ayat 114 yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat”.

 

Artikel ini disusun daripada intipati perkongsian dalam Usrah Umum ISMA di Surau Amirin, Bandar Baru Bangi pada 14 Januari 2016 yang disampaikan oleh Ketua Biro Dakwah ISMA Daerah Hulu Langat.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi Kami

No. Telefon: 011-37394535

Website: http://ismadhl.com

Emel: syed.zahirudin@gmail.com

Google+

Ikuti Kami

north face jacket sale, ralph lauren sale, louis vuttion bags uk, michael kors bags uk, moncler outlet uk, ralph lauren online shop, cheap ralph lauren, christian louboutin sale, louis vuttion outlet, ralph lauren online