Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat

Maafkan Aku, Ramadan

ramadhan

Deruan ombak semakin kuat memukul pantai. Hembusan angin pula, tidak jemu bertiup memberi kesegaran kepada makhluk, tidak kira manusia mahupun haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan.

“Mad, masuk rumah sekarang. Dah nak maghrib ni.” Paluan suara abah membuat Ahmad tersentak. Dikala asyik dia menghitung datang dan perginya pasir-pasir yang di bawa ombak ke pantai dan ke dasar laut. Suaraabah, memadamkan hitungannya.

“Baik bah, kejap lagi Mad masuk. Lima minit, boleh kan abah?” Pinta Ahmad yang hatinya sudah terpaut pada kelembutan angin bayu, seolah-olah menggodanya dan menahannya untuk pulang ke rumah.

“Yelah. Lepas lima minit tak masuk, abah timbus kau dalam pasir tu.” Omelan abah kasar. Tetapi itulah abah yang selalu menceriakan orang lain. Ucapannya kasar tetapi hatinya lembut. Tidak pernah dia berbuat apa yang diperkatakannya. Hanya di mulut yang terlihat garang. Ahmad, satu-satunya anak lelaki yang sering di’buli’ abah.

***

Pada malam itu, usai solat maghrib, Ahmad dan keluarganya menjamu hidangan makan malam. Enak masakan ibu. Persis masterchef atau mungkin lebih sedap dari air tangan masterchef. Mana bisa air tangan ibu disamakan dengan orang lain. Tak mungkin walau diberikan seratus chef terbaik di dunia.

Tersenyum abah bila perut sudah kenyang.

“Kejap lagi buatkan abang kopi ya Salmah.” Pinta abah kepada ibu. Ibu yang sedang mengemas meja dapur tersenyum dan hanya mengangguk.

Ahmad pula melabuhkan punggungnya  di depan TV. Bagai ular yang sudah kekenyangan. Melingkar di atas karpet berbulu yang nyaman.

*Angin kuat mengipas bumbung rumah

“Ibu, hujan ya di luar?” Soal Ahmad sambil menekan-nekan tombol alat kawalan jauh televisyen.

“Angin kuat di luar, hujan barangkali. TV tu ditutup Ahmad, nanti guruh berdentum, habis menangkap pada  TV, rosak pula.” Jerit ibu yang sedang membasuh pinggan di dapur.

Dalam sedar dan tidak sedar, fikiran Ahmad melayang…

***

Allahu Akbar Allahu Akbar…

Allahu Akbar Allahu Akbar…

Azan berkumandang. Sayup-sayup kedengaran.

“Ahmad! Jom ke masjid.” Sahutan suara Idham memanggil.

“Ha? Baiklah-baiklah. Sekejap, aku ambil wuduk dulu.” Tergesa-gesa Ahmad menyingsing lengan bajunya dan bergegas ke bilik air.

Usai solat, Ahmad dan Idham bersalam-salaman bersama jemaah masjid.

Dalam kehairanan Ahmad melihat seorang demi seorang wajah para jemaah. Terdetik di dalam hatinya, “Mana abah? Selalu aku ke masjid dengan abah. Tapi kenapa Idham pula yang muncul?”

Sedang Ahmad menggaru-garukan kepalanya. Matanya meliar mencari kelibat Idham.

“Pak Imam, saya nak derma. Tapi saya hanya ada 10 sen.” Berkata Idham kepada Pak Imam di masjid itu.

Bertambah hairan Ahmad melihat kawannya itu. Entah bagaimana tiba-tiba muncul kemudian ingin menderma di tabung masjid pula.

“Eh budak Idham ni bukan selalu kedekut ke. Apasal dia tiba-tiba nak derma dekat tabung masjid pula.”

Ahmad hanya merenung Idham dari hujung penjuru masjid. Dia tidak mahu mengganggu perbualan Idham dan Pak Imam. Padanya, Idham itu hanya main-main dan barangkali dia yang mahu mencuri duit tabung masjid.

“Ah, biarlah kau Idham.” Bisik Ahmad dalam hati.

Tiba-tiba kedengaran suara Pak Imam.

“Tak pe, nak. Kalau ada 10 sen pun boleh je nak sedekah. Sedekah ni besar pahalanya. Lagi-lagi pada bulan yang mulia ni. Kita derma 10 sen, Allah lipat gandakan pahala berpuluh-puluh kali ganda tau. Idham nak tahu tak, Nabi cakap, ‘Barang siapa (pada bulan ramadan) mendekatkan diri (kepada Allah) dengan satu kebaikan, ia seolah-olah mengerjakan satu ibadah wajib pada bulan yang lain.’ Bulan ni, bulan yang penuh barakah. Dalam bulan ni ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Kalau Idham rasa 10 sen tu amal kebaikan kerana Allah yang Idham nak buat, insyaAllah besar ganjaran buat Idham. Jarang-jarang ada budak sebaya Idham ni nak sedekah. Kalau Idham memang tak ada duit, tolong mak Idham dekat rumah pun satu sedekah tau.”

Idham tertunduk. Mahu saja dia menitiskan air mata mendengar kata-kata Pak Imam itu.

“Betul ke Pak Imam. Terima kasih ya. Idham minta diri dulu.” Sayu nada suara Idham sambil berlalu keluar masjid.

Pak Imam yang sedang duduk memegang kunci masjid hanya mampu menggelengkan kepala dan menghantar Idham keluar masjid dengan pandangan yang hiba.

“Aduh, aku dah salah faham dengan Idham. Aku mesti minta maaf dengan dia.” Ahmad yang mendengar perbualan itu terus mengejar Idham yang sedang laju berjalan menuju ke rumahnya.

“Idham!  Idham… Tunggu la kejap.” Jerit Ahmad termengah-mengah.

“Idham, kau yang ajak aku pergi masjid, lepas tu kau tinggal aku macam tu je, kan?” Omel Ahmad.

“Sorylah Ahmad, aku nak cepat ni. Aku nak buat sesuatu supaya aku boleh sedekah banyak-banyak. Aku takde duit, jadi aku nak tolong mak aku dekat rumah. Pak Imam kata tu pun dikira sedekah jugak.” Aneh nada suara Idham kali ini.

Ahmad semakin pelik dan pelbagai persoalan yang bermain-main di dalam benak fikirannya. Lalu dia bertanya lagi kepada Idham.

“Tapi kenapa kau beriya sangat nak sedekah ni? Aku tak faham lah. Sebelum-sebelum ni takde pun kau nak sedekah. Selalu tabung masjid yang kau intai.”

“Kali ni lain. Tahun ni aku berazam nak berubah. Aku nak kumpul pahala.” Balas Idham sambil membetulkan songkoknya yang lusuh.

“Kumpul pahala?” Soal Ahmad lagi yang masih kebingungan.

“Yelah Mad. Kau ni kenapa lah lambat sangat. Esok kan dah masuk bulan ramadan. Bulan paling mulia yang Allah bagi kepada umat Nabi Muhammad. Semua orang sibuk countdown bulan ramadan, kau tak tau ke? Semua orang tak sabar nak buat kebaikan dan kumpul pahala. Ustaz aku kata, nabi ada sebut dalam satu hadis tentang bulan ramadan.

 ‘Wahai manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung dan penuh berkah. Di dalamnya terdapat satu malam yang nilai (ibadah) di dalamnya lebih baik dari 1000 bulan. Allah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai sebuah kewajipan, dan menghidupkan malamnya sebagai perbuatan sunnah (tathawwu’). Barang siapa (pada bulan itu) mendekatkan diri (kepada Allah) dengan satu kebaikan, ia seolah-olah mengerjakan satu ibadah wajib pada bulan yang lain. Barang siapa yang mengerjakan satu perbuatan wajib, ia seolah-olah mengerjakan 70 kebaikan di bulan yang lain. Ramadan adalah bulan kesabaran, dan kesabaran itu balasannya syurga. Ia (juga) bulan tolong-menolong, di mana di dalamnya rezeki seorang Mukmin bertambah (ditambah). Barang siapa (pada bulan itu) memberikan juadah berbuka  kepada seorang yang berpuasa, maka itu menjadi maghfirah (pengampunan) atas dosa-dosanya, penyelamatnya dari api neraka dan ia memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa (itu) sedikitpun.” Kemudian para Sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, tidak semua dari kami memiliki makanan untuk diberikan sebagai buka orang yang berpuasa.” Rasulullah SAW berkata, “Allah memberikan pahala tersebut kepada orang yang memberikan buka dari sebiji kurma, atau satu teguk air atau susu. Ramadan adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (ampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka.’  (HR Baihaqi)

” Jawab Idham yang hampir letih menjawab pertanyaan-pertanyaan Ahmad.

persediaanramadhan_ramadan_warming_up-by isma mesir_ahlanwasahlanyaramadhan_wallpaper

***

“Ahmad… Ahmad… Bangun nak. Dah solat belum?” Ibu mengejutkan Ahmad yang asyik lena berdengkur.

“Ha? Ibu. Dah. Ahmad dah solat dengan Idham tadi.” Jawab Ahmad yangsedang mamai sambil menggosok-gosok matanya.”

“Mana ada Idham. Ahmad dekat kampung ni. Ni rumah arwah nenek. Idham kan dekat Mesir ikut mak ayah dia sambung belajar. Mad ni mengigau ni. Tulah tidur lepas maghrib. Macam ni lah jadinya.” Ujar ibu yang tersengih dengan gelagat Ahmad.

“Yeke bu, Ahmad mengigau? Maksudnya tadi Ahmad mimpi jela pergi masjid dengan Idham.” Ahmad masih menginginkan kepastian dari ibunya.

“Ye, Ahmad mengigau. Dah, dah pergi cuci muka ambil wuduk, solat isyak. Nanti abah bising kang.” Ujar ibu sambil menutup TV yang terpasang tanpa ditonton oleh Ahmad sehinggalah dia disedarkan dari lamunan mimpinya.

Ahmad masih tidak percaya akan mimpi itu. Dia benar-benar merasa Idham bersamanya ke masjid dan Idham bercerita kepadanya tentang…

kelebihan bulan Ramadan.

***

“Ibu, esok puasa ke?” Soal Ahmad kepada ibunya.

“Ya Allah. Ahmad… Ahmad… Rupanya tadi TV yang tengok kamu ye. Pukul 8 tadi kan ada pengumuman, 1 Ramadan jatuh hari Isnin. Lusa baru puasa. Ha malam esok dah mula terawih tau. Jangan nak tidur-tidu lepas maghrib lagi. Abah mengomel nanti, ibu tak tau.” Balas ibu dengan nada yang sedikit menekan tetapi masih mengekalkan kelembutannya.

“Hehehe… Fuh, untung tanya pada ibu, kalau abah tadi, mati aku.” Bisik Ahmad sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

 

***

1 Ramadan. 6.00 PM

“Ibu, nak masak apa untuk berbuka nanti?” Soal Ahmad sambil tersenyum.

“Eh, rajinnya anak ibu ni. Betul ke ni nak tolong ibu?” balas ibu sambil tersenyum kehairanan.

“Yelah, nikan bulan Ramadan. Mad puasa, jadi Mad nak kumpul pahala banyak-banyak.” Ujar Ahmad yang tersengih memandang ibunya.

Mimpi Ahmad bertemu Idham benar-benar membekas di dalam hatinya. Walaupun ianya sekadar mimpi tetapi Ahmad percaya mimpi itu suatu petunjuk buatnya yang sering mengabaikan kedatangan bulan yang mulia itu. Maafkan aku Ramadan…

 

 

Nurul Hajjar Atan

Bendahari,

Biro Penerangan Isma DHL

Ahli Unit Kajian Pembina

 

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi Kami

No. Telefon: 011-37394535

Website: http://ismadhl.com

Emel: syed.zahirudin@gmail.com

Google+

Ikuti Kami

north face jacket sale, ralph lauren sale, louis vuttion bags uk, michael kors bags uk, moncler outlet uk, ralph lauren online shop, cheap ralph lauren, christian louboutin sale, louis vuttion outlet, ralph lauren online