KUALA LUMPUR: Bersenam 150 minit seminggu dengan kekerapan lima atau enam kali seminggu berupaya mengekalkan kecergasan dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Senaman berintensiti sederhana wajar dimulakan memanaskan badan menerusi sesi regangan bagi menyejukkan badan.

Pengerusi Pusat Komuniti Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Poh Bee Koon, berkata saranan kerajaan menggalakkan senaman 15 minit memberi peluang individu melakukan separuh daripada keperluan bagi melahirkan masyarakat lebih sihat dan cergas.

Katanya, usaha ke arah menggalakkan gaya hidup aktif berikutan Kajian Morbiditi Kebangsaan 2015, mendapati lebih 40 peratus golongan dewasa tidak aktif dan kurang bersenam hingga berisiko mengalami berat badan berlebihan.

“Senaman 15 minit ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan kekerapan lima kali seminggu, manakala 15 minit lagi boleh dilakukan pada waktu petang.

“Ini bagi mencukupkan tempoh senaman 30 minit sehari seperti disarankan pakar kesihatan,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya, berkata, setiap kementerian digalak mengadakan aktiviti senaman 15 minit sehari menerusi program X-Break dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat.

Aktiviti senaman itu dicadangkan dilakukan pada waktu pagi dan petang.

Selain obesiti, senaman itu mampu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit, kekuatan dan fleksibiliti otot.

Ketua Program Sains Pemakanan, Pusat Komuniti Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof Dr Norimah A Karim, berkata senaman 15 minit memberi manfaat kepada gaya hidup sihat. Katanya, aktiviti fizikal seperti berjalan pantas dan menaiki tangga lebih baik daripada menggunakan lif.

“Ini langkah positif jabatan kerajaan yang wajar dicontohi sektor swasta untuk membawa perubahan yang baik dalam jadual harian pekerja.

“Senaman 15 minit perlu dijadikan rutin setiap hari dan akhirnya akan menjadi tabiat yang baik untuk kesihatan dan kualiti hidup,” katanya.

Saranan berkenaan turut disokong Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata tempohnya walaupun singkat, namun menggalakkan semua pihak melakukan aktiviti menyihatkan.

“Saya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling kepada semua ketua jabatan mengenai pelaksanaannya.

Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata pula menyarankan senaman 15 minit dilaksanakan secara bergilir-gilir bagi mengelak penangguhan operasi kerja.

Katanya, senaman itu amat bagus asal sahaja tidak mengganggu kakitangan khususnya di bahagian khidmat pelanggan yang banyak berurusan dengan pelanggan.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.