Category Archives: Berita Terkini

Berita terkini mengenai program, makluman, karya, ucapan, dan rencana berkaitan dengan ISMA DHL.

Kelahiran Generasi Harapan

ketua wanita DHL

Bangi, 28 September: Sekalung tahniah diucapkan kepada Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat (ISMA DHL), saudara Mohd Noor Azib b. Asmangi  dan zaujah beliau yang juga merupakan Ketua Wanita Cawangan (ISMA DHL), Puan Shazamawati Bt Zam Hashari di atas kelahiran mujahid baru jam 11.56 malam semalam.

Semoga bayi yang belum diberikan nama ini menjadi pengikat dan penyambung kasih sayang antara pasangan ini. Seluruh warga ISMA DHL melahirkan rasa syukur dan penuh kegembiraan dengan kelahiran bayi ini dan turut mendoakan:

“Semoga Allah memberkati engkau dengan kelahiran anak ini dan engkau pula mensyukuri pemberianNya, semoga dia dipelihara hingga dewasa dan engkau mendapat layanan yang baik daripada anak ini.”

Semoga kelahiran mujahid kecil ini dapat menambah kekuatan umat Islam dan menjadi penerus rantaian dakwah kelak.

Contohi Salafussoleh Ulangi Kegemilangan Islam

Usrah Umum_Ustaz Dr Isa

BANGI, 28 Ogos. – “Salafussoleh, generasi awal Islam begitu ghairah untuk melihat umat Islam soleh (tunduk dan patuh pada syariat), bahkan mereka (salafussoleh) tampil ke hadapan menjadi rijal ‘ammah; membimbing manusia dan menjadi contoh ikutan,” demikian ujar Ustaz Dr Mohd Isa Hamzah, Ahli Tertinggi Majlis Ulama’ ISMA (MUIS) di sini semalam.

Ustaz Dr Mohd Isa yang juga Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata demikian ketika menyampaikan pengisian sebagai Naqib Usrah Umum Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL). Memetik pepatah Arab yang bermaksud, ‘perbaikilah diri kamu dan serulah masyarakat (ke arah kebaikan)’, beliau turut menyeru ahli usrah untuk tidak hanya berpada menjadi soleh untuk diri sendiri, sebaliknya sama-sama berperanan mengajak masyarakat untuk menjadikan Islam sebagai panduan hidup.

Menyentuh berkenaan tajuk Usrah Umum kali ini; “Sejarah Gerakan Islam”, Ustaz Dr Mohd Isa menyampaikan secara ringkas perkembangan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia selepas kejatuhan Khalifah Islam yang terakhir kerajaan Turki Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II.

Di Turki, terkesan dengan Gerakan Jamaah An-Nur yang diasaskan oleh Syeikh Badi’uzzaman Saied An-Nursi, masyarakat Turki yang pernah melalui zaman sekular yang panjang, semakin menerima kembali nilai, prinsip dan syiar Islam. Usaha ini diteruskan secara tidak langsung oleh pimpinan Turki hari ini khususnya melalui Parti AK pimpinan tokoh masyhur, Erdogan. Sehingga hari ini, Jamaah An-Nur masih bergerak di Turki dan beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Ustaz Dr Mohd Isa turut menyentuh perkembangan beberapa gerakan Islam lain antaranya Jamaat Islami (JI) di Pakistan dan Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir. IM yang telah berkembang sehingga ke lebih 80 buah negara dilihat begitu mempengaruhi perkembangan gerakan-gerakan Islam lain seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Dalam penyampaiannya, Ustaz Dr Mohd Isa turut mengingatkan hadirin kepentingan memilih pemimpin yang berwibawa untuk memandu masyarakat sebagaimana disarankan dalam Al-Quran, menceritakan sifat Nabi Musa a.s. yang bermaksud: “Sungguh, orang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai [Surah Yusuf:26].

Usrah Umum kali ini yang diadakan di Pejabat ISMA Cawangan DHL dihadiri hampir 50 hadirin. Kepada sesiapa yang berminat untuk sama-sama menyertai Usrah Umum akan datang boleh berhubung dengan Pegawai Perhubungan ISMA Cawangan DHL, Sdr Syed Zahirudin di talian +601137394535.

“Langgar Israel” di RnR Dengkil

DENGKIL, 23 Ogos – Bertempat di kawasan Rehat dan Rawat Dengkil, berlangsungnya program Toll to Gaza dengan tema ‘Langgar Israel’. Sebanyak tujuh buah kereta berkonvoi dari Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi, Seksyen 9 bersempena dengan Bulan Kemarahan Ummah anjuran Aman Palestin dengan kerjasama ahli ISMA dan PEMBINA.

Bendera Israel dihamparkan di atas jalan sebagai simbol kemarahan ummah dan bendera Palestin dikibar menunjukkan sokongan penuh kepada rakyat Palestin. Bunting boikot produk-produk Israel turut ditunjukkan.

“Signifikan program ini adalah untuk membetulkan kefahaman masyarakat bahawa Palestin adalah satu daripada tanah air umat Islam, dan menjadi tanggungjawab semua untuk membebaskan tanah air yang dijajah,” kata Ketua Aktiviti, saudara Syafiq Syahmi.

“Kempen boikot produk Israel dapat memberi tekanan kepada ekonomi Israel, semoga usaha kecil dan berterusan ini mampu melumpuhkan ekonomi mereka,” ujar Ketua Beliawanis PEMBINA Bangi, Nor Raidah Rahmat.

Beliau berkata lagi, “Ramai rakyat Malaysia sudah peka dan menyokong usaha boikot serta kempen Al-Qassam. ‘Hon’ tanda setuju dari semua lapisan masyarakat menunjukkan kita semua bersatu padu dalam isu pembebasan Palestin.”

“Respon yang diberi orang awam sangat baik menunjukkan kepekaan mereka. Ini dapat dilihat dari sokongan mereka menandatangani petisyen bantahan kepada Israel dan ada juga masyarakat umum yang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan bagi membantu menjayakan aktiviti-aktiviti Bulan Kemarahan Ummah anjuran Aman Palestin ini,” kata Ahli Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia, saudari Mariam Malek.

Turut hadir sama ialah saudara Timbalan Pengerusi PEMBINA Bangi, Azlan Bin Abd Aziz. Beliau turut berkata bahawa program ini mampu memberi kesedaran kepada masyrakat tentang isu Palestin yang dicabuli hak kemanusiaannya melalui kezaliman yang dilakukan oleh Zionis.

Saudara Syafiq menyatakan impak dan reaksi keseluruhan program ini sangat memuaskan apabila berjaya mendapat tandatangan untuk petisyen sebanyak 150 orang dalam masa 10 minit. Perhimpunan ini berjaya membangkitkan semangat masyarakat untuk sama-sama berjuang membebaskan Palestin dari cengakaman laknatullah.

 

Maisarah Shahrain

Wartawan Media ISMA

photo_2014-08-24_22-32-39 photo_2014-08-24_22-33-00

Flashmob Gaza sampaikan sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin

EM4B8842Gambar babak rakyat Palestin dizalimi askar Zionis di Flashmob Gaza, Dataran Putra, Putrajaya. Gambar oleh Nor Azlan Nor Muhammad.

PUTRAJAYA, 23 OGOS – Bersemperna Bulan Kemarahan Ummah , Aman Palestin telah mengadakan Flashmob Gaza di Dataran Putra, Putrajaya, semalam.

Ini bertujuan bagi menzahirkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kezaliman Yahudi Zionis terhadap serangan kepada umat Islam di Palestin.

“Sebagai rakyat Malaysia, program ini dapat menunjukkan kebenaran kepada masyarakat dunia mengenai  situasi yang sedang berlaku di Gaza.” ujar salah seorang sukarelawan Aman Palestin.

Flashmob ini turut dihadiri oleh Mohd Noor Azib Asmangi, YDP ISMA Daerah Hulu Langat.

Syafiah Mohammad.

Wartawan Media ISMA.

Masyarakat Sepang sambut baik Majlis Sambutan Aidilfitri ISMA DHL

EM4B8709YDP ISMA DHL, Mohd Noor Azib Asmangi memberi cenderahati kepada wakil Masjid Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang hadir di Majlis Sambutan Aidilfitri ISMA DHL dan Sepang. Gambar oleh Nor Azlan Nor Muhammad.

SEPANG, 17 Ogos- “Sambutan Hari Raya pada tahun ini disambut dengan sederhana sempena Bulan Kemarahan Ummah (BKU) yang dilancarkan baru-baru ini. BKU adalah manifestasi kepada penolakan dan kebencian umat Islam terhadap kezaliman yahudi zionis kepada umat Islam di Palestin khususnya.”

Demikian, ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua ISMA cawangan Hulu Langat, Mohd Noor Azib b. Asmangisemalam.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Hulu Langat dan Sepang dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Bangi telah mengadakan Majlis Sambutan Aidilfitri di perkarangan Masjid Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi bagi memperkenalkan ISMA kepada masyarakat setempat dengan lebih dekat lagi.

“ISMA mengajak masyarakat faham ancaman yang dihadapi oleh umat Islam hari ini khususnya terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang ingin merubah status Malaysia sebagai Negara Islam dan bangsa Melayu sebagai tonggak.” Ujar Mohd Noor Azib bagi meyakinkan kepada penduduk setempat mengenai pendirian ISMA sebagai NGO yang komited dalam menangani masalah ini.

Mohd Noor Azib juga menyatakan hasrat ISMA untuk berdaftar di Sepang sebagai salah satu cawangan baharu dengan harapan untuk lebih dekat dengan masyarakat setempat dalam membangunkan program-program Islam di kawasan Sepang.

Majlis Sambutan Aidilfitri ini dihadiri oleh kira-kira 300 orang penduduk sekitar Sepang dan Hulu Langat dengan disajikan pelbagai juadah istimewa hari raya seperti ketupat, rendang, nasi beriyani dan banyak lagi.

Nurul Hajjar

Wartawan Media ISMA