Category Archives: Berita Utama

Berita Utama merangkumi makluman, ucapan, dan hebahan kepada umum.

Bola Sepak Mengajar Erti Disiplin dan Nilai Hidup

photo_2016-03-08_12-52-21

 

BANGI, 7 Dis – “Kita sebenarnya ingin menjadikan aktiviti sukan khususnya bola sepak ini sebagai salah satu platform untuk mengumpulkan para remaja dan pemuda dari pelbagai latar belakang untuk dididik dengan disiplin-disiplin kesukanan dan nilai-nilai kehidupan,”ujar Encik Mohd Azib Asmangi, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Hulu Langat mengenai kejohanan Piala Presiden ISMA yang berlangsung semalam.

Beliau mewakili barisan kepimpinan ISMA Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pengurusan Isma Selangor FC yang dipimpin oleh Ustaz Bilal Jailani dan Encik Hazwan yang telah menunjukkan disiplin dan kesungguhan yang tinggi sehingga berjaya merangkul juara keseluruhan Piala Presiden ISMA.

“Kemahiran, stamina dan sifat hormat yang tinggi terhadap jurulatih, Encik Azlan Johar oleh setiap pemain adalah resepi kemenangan Isma Selangor FC ketika menentang Az-Zahrah FC di peringkat akhir kejohanan”.

“Namun, pastinya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan dimantapkan seperti keserasian 121 short pass dan long pass. Apapun, mereka bermain dgn cukup baik dengan latihan hanya beberapa kali sebelum kejohanan,”ujar beliau lagi.

Ketika ditanya apakah harapan ISMA Selangor selepas kemenangan ini, jawab beliau,“Di peringkat YDP ISMA cawangan-cawangan Negeri Selangor, kami akan berbincang bagaimana kita boleh meneruskan usaha ini dengan lebih berkesan.”

“Kami juga mengalu-alukan syarikat atau individu yang ingin menaja ISMA Selangor FC agar pasukan ini boleh pergi lebih jauh lagi di peringkat negeri dan nasional,” terang beliau.

Harapan beliau agar semoga detik bersejarah ini menjadi sebahagian daripada diari kehidupan para pemain kerana mereka bukan sahaja menjadi salah seorang ahli pasukan yang bergelar juara tetapi juga merupakan pemain-pemain bola sepak ISMA iaitu sebuah NGO yang akan terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair.

 

Wartawan ISMA

Nurul Husna Che Hamzah

 

Jaga maruah diri untuk elak fitnah

File_000

 

BANGI, 28 Feb – Menjaga maruah diri adalah kewajipan bagi setiap muslim untuk mengelakkan tersebarnya fitnah yang boleh menghancurkan ummat.

“Peristiwa Hadis Al-Ifk (Cerita Dusta) yang berlaku dalam rumah tangga Rasulullah s.a.w dan fitnah yang menimpa Aishah membuktikan begitu mudah fitnah tersebar dan mampu memporakperandakan institusi keluarga dan masyarakat,“ jelas Ustazah Nur Fatin Halil sewaktu menyampaikan Usrah Wanita di Surau Bangi Idaman semalam.

Jelas Ustazah Fatin lagi, semasa Aisyah r.a. difitnah, suasana ketika itu sangat huru-hara dengan semua orang mempercayai dan menyebarkan fitnah lalu menyebabkan Aisyah sangat tertekan kerana orang sekelilingnya turut mempercayai berita palsu tersebut.

Namun, kesucian Aisyah r.a. membuktikan bahawa berita palsu itu adalah bohong semata-mata dengan turunnya ayat ke-23 Surah An-Nur.

Terang beliau lagi, walaupun Aisyah r.a. berseorangan dengan seorang lelaki, namun beliau tetap menjaga maruahnya sebagai seorang wanita muslimah di sepanjang perjalanan.

“Normalisasi budaya berpasang-pasangan atau “couple” yang melanda remaja dan belia sekarang bukan sahaja akan mendatangkan kesan buruk yang akan menjatuhkan maruah seseorang wanita atau gadis muslimah, malah menghancurkan masa depan umat secara keseluruhan.

Seharusnya setiap ibu bapa prihatin dan memberi kasih sayang secukupnya kepada anak-anak kerana mereka yang terjebak dengan “couple” biasanya adalah orang yang kurang kasih sayang sehingga mencari kasih sayang dengan orang lain yang tidak sepatutnya sehingga berlakunya zina dan mengandung anak luar nikah,” ulas beliau lagi.

Ustazah Nur Fatin merupakan penceramah tetap Usrah Wanita di Surau Bangi Idaman, Seksyen 5 Bandar Baru Bangi yang diadakan secara berkala iaitu dua minggu sekali.

 

Nurul Husna Che Hamzah

Wartawan ISMA

Kurang Nilai Hidup Islam Faktor Akhlak Remaja Runtuh

photo_2016-02-02_10-30-53

BANGI, 31 Jan – “Antara faktor utama keruntuhan akhlak di kalangan remaja hari ini adalah kerana mereka kurang didedahkan kepada penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian”, demikian ujar Ustazah Nur Fatin Halil, graduan Universiti Al-Azhar, ketika menyampaikan pengisian dalam Siri usrah wanita di Surau Nur Idaman hari ini.

Usrah wanita kali ini membincangkan tentang tafsir wanita dalam Al-Quran yang dipetik dari surah An-Nur.

Ayat ke-27 dari surah An-Nur misalnya banyak menceritakan tentang adab meminta izin apabila hendak memasuki rumah orang lain dan ia juga wajib dipraktikkan sesama ahli keluarga di rumah sendiri.

“Kalau kita lihat sekarang, isu keruntuhan akhlak remaja sekarang banyak berpunca daripada kurangnya kefahaman agama oleh ibu bapa sendiri, contohnya dalam bab meminta izin yang kurang diamalkan dalam keluarga muslim.

“Ramai yang tidak tahu bahawa di dalam Islam, ada ketikanya anak-anak tidak dibenarkan untuk mengganggu ibu bapa di dalam bilik dan jika terpaksa, mereka perlu meminta izin seperti sebelum subuh, sewaktu tengahari dan waktu malam selepas Isyak, “ tegas beliau lagi.

Akibat kurangnya kefahaman agama seperti ini, kesannya dapat kita lihat melalui keruntuhan akhlak remaja sekarang seperti kes sumbang mahram, rogol dan sebagainya yang kerap sekali terpampang di dada-dada akhbar.

Malah, apa yang lebih menyedihkan ialah apabila anak-anak yang terjebak dalam kancah maksiat itu mengakui bahawa mereka berbuat demikian akibat terpengaruh dengan sikap ibu bapa sendiri yang menggalakkan aktiviti maksiat itu bermula dari rumah seperti menonton video dengan unsur pornografi bersama ahli keluarga lain.

Usrah wanita adalah satu program berkala yang diadakan di beberapa tempat sekitar Bandar Baru Bangi seperti Surau Nur Idaman, Seksyen 5 dan surau perumahan Taman Nadayu 92.

Malaysia Perlu Kesatuan Yang Kuat Hadapi Ancaman TPPA

photo_2016-01-17_09-58-5317 Januari, Sepang – “Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) adalah sebahagian perancangan kuasa besar dunia menekan negara-negara terlibat termasuk Malaysia. Justeru, rakyat Malaysia perlu satu kesatuan yang kuat menyatakan bantahan bagi menghadapi ancaman besar ini”. Ustaz Hazizi Abdul Rahman, Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata demikian dalam satu sesi penerangan berkaitan ancaman TPPA terhadap Malaysia di sini semalam.

Dijemput bagi mengisi kuliah Maghrib di Surau Desa Vista, Sepang, Ustaz Hazizi menjelaskan bahawa TPPA merupakan perancangan kapitalis Yahudi dengan menjadikan Amerika Syarikat sebagai boneka bertujuan semata-mata untuk menguntungkan golongan kapitalis. Atas sebab itu, perjanjian ini bahkan ditolak oleh sebahagian rakyat Amerika sendiri termasuk salah seorang Senator, Elizabeth Warren yang diugut untuk ditarik balik peruntukan dana politik untuknya kerana menyatakan bantahan terhadap perjanjian ini.

Sambungnya lagi, “ TPPA bukan semata-mata perjanjian yang melibatkan perniagaan dan ekonomi, bahkan turut berkait dengan ketenteraan, politik dan juga kedaulatan undang-undang sesebuah Negara.”

photo_2016-01-17_09-58-47

Memetik salah satu sisi penting daripada TPPA iaitu Investor States Dispute Settlement (ISDS), Ustaz Hazizi menyebut sesebuah kerajaan boleh didakwa di Tribunal Antarabangsa oleh pihak pelabur asing sekiranya ada undang-undang yang dipinda selepas TPPA ditandatangi dan ia mengugat kepentingan pelabur asing. Berdasarkan rekod, majoriti kes yang dibicarakan di Tribunal Antarabangsa ini berakhir dengan saman ke atas kerajaan yang terlibat yang mencecah berbillion dollar. Secara ringkas, boleh difahami bahawa kewujudan ISDS melalui TPPA ini akan menggugat kedaulatan undang-undang sesebuah negara.

Walaupun dimaklumkan manfaat yang diterima daripada TPPA seperti kemasukan pelaburan asing ke dalam negara dan peluang memasarkan produk tempatan ke negara luar yang menandatangani perjanjian termasuk Amerika, perlu diingat, dengan termeterainya TPPA, syarikat-syarikat bumiputera dan tempatan yang lain terpaksa bersaing dalam persaingan berat sebelah dengan syarikat-syarikat gergasi multinasional luar negara. Ini jelas akan menjejaskan bahkan mungkin menyebabkan syarikat-syarikat tempatan dengan modal yang kecil terpaksa gulung tikar.

Menambahkan kebimbangan rakyat, kerajaan Malaysia dilihat tidak bersikap telus apabila teks perjanjian tidak didedahkan kepada umum sepanjang lima tahun rundingan berlangsung. Teks perjanjian hanya didedahkan setelah ia dimuktamadkan dan tidak boleh lagi dipinda.

Di akhir sesi penerangan, Ustaz Hazizi sekali lagi mengingatkan bahawa rakyat Malaysia perlu membentuk suatu kesatuan yang kuat dalam menyatakan bantahan terhadap TPPA sebelum perjanjian ini dimuktamadkan Februari ini.

Mengulas berkenaan program, Timbalan Pengerusi Surau Desa Vista mengalu-alukan kesudian Ustaz Hazizi berkongsi input berkenaan TPPA dan mengharapkan jemaah yang hadir dapat memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia dalam sama-sama menyatakan bantahan.

 

Hijrah Aspirasi Kekuatan Ummah

Penghijrahan Rasulullah S.A.W bersama kaum muslimin dari kota Mekah ke kota Madinah adalah semata-mata untuk menjaga keimanan mereka kepada Allah S.W.T. Penghijrahan ini juga adalah merupakan satu titik baru dalam dakwah islamiah dan memperluaskan penyebaran Islam itu sendiri. Penghijrahan Rasulullah S.A.W bersama kaum muslimin ini telah mempersatuan antara dua kaum iaitu Muhajirin dan Ansar. Rasulullah bukan sahaja menyatukan dua kaum malah telah menanamkan rasa kasih sayang, perpaduan, tolong-menolong, pengorbanan, kecintaan, kesungguhan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam.

Contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dan kaum muslimin yang terdahulu haruslah diikuti oleh umat pada zaman kini. Ayuh kita lihat, sekiranya umat Islam pada zaman kini  bersatu padu, berkasih sayang, tolong-menolong, sifat ketakwaan yang tinggi tidak mungkin berlakunya perpecahan, pergaduhan dan peperangan sesama kita. Pasti Rasulullah S.A.W akan menitiskan air mata sekiranya melihat suasana umat akhir zaman ini.

Seperti yang kita lihat, perubahan demi perubahan teknologi semakin canggih dan moden sentiasa beredar mengikut peredaran zaman. Motor berkuasa tinggi, televisyen LCD, telefon bimbit ‘touch screen’ dan bermacam lagi. Dunia tanpa sempadan. Wah, hebat bukan. Mungkin ini sebagai satu ujian buat kita. Tetapi bagi mereka yang celik ilmu, perubahan teknologi ini adalah sebagai satu wadah dan cara untuk kita menyebarluaskan Islam. Dengan menggunakan kaedah ini, maklumat dan pengetahuan tentang Islam dapat dihebahkan. Dengan pengetahuan yang mendalam manusia dapat mengamalkan Islam secara syumul atau menyeluruh baik dari segi ekonomi, pendidikan, pentadiran dan sebagainya.

Mari kita telusuri lagi hikmah disebalik penghijrahan Rasulullah S.A.W. Penghijrahan Rasulullah S.A.W ini boleh dijadikan inspirasi untuk kita dalam melakukan penghijrahan diri. Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”. Marilah kita refleksi diri ke arah perubahan yang lebih baik dari segi akhlak, keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T agar perpaduan dan kesatuan ummah dapat dicapai. Keamanan dan perpaduan tidak akan dicapai melainkan umat Islam bersatu.

Ayuh umat Islam bangkitlah dari tidur yang lena. Bangkitlah dari angan-angan yang panjang. Bangkitlah untuk menegakkan agamamu. Bangkitlah untuk membantu saudaramu. Bangkitlah untuk menyelamatkan bangsamu. Jika kamu ingin melihat kegemilangan sesuatu umat maka lihatlah kepada pemuda-pemuda di negara tersebut. Tidak mustahil suatu hari nanti kesatuan akan dapat dicapai dengan penghijrahan yang kita lakukan.

Oleh,

Mastura Bt Nasir

Aktivis ISMA DHL