Category Archives: Berita Utama

Berita Utama merangkumi makluman, ucapan, dan hebahan kepada umum.

Ramadan, peluang yang mungkin tidak akan berulang

photo_2015-03-28_17-17-12

BANGI, 14 JUN – “ Ramadan merupakan peluang yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita, peluang yang mungkin tidak akan berulang lagi untuk tahun-tahun seterusnya,” demikian ujar Ustaz Bilal bin Jailani, graduan Universiti Al-Azhar, Mesir semasa dijemput menyampaikan ceramah bertajuk “Ahlan Ya Ramadan: Selamat Datang Ramadhan” bertempat di Surau Amirin, Seksyen 4, Bangi semalam.

Permulaan ceramahnya, Ustaz Bilal mengingatkan para hadirin hakikat bahawa umat Islam merupakan khalifah Allah di atas muka bumi yang diamanahkan Allah untuk berusaha memastikan syariat Islam ditegakkan. Kedatangan Ramadan seharusnya dilihat sebagai antara peluang untuk umat Islam kembali menyedari hakikat ini dan memperbanyakkan doa dan usaha ke arahnya.

Ustaz Bilal juga menyentuh beberapa persoalan umum berkaitan ibadah puasa sebagai sebahagian persediaan menyambut ketibaan bulan difardhukan padanya puasa ini. Ujarnya lagi umat Islam perlu bersyukur atas peluang untuk hidup di bulan Ramadan sebagai orang Islam yang mengerjakan ibadah puasa. Hal ini demikian kerana golongan kuffar menurut pendapat mazhab Imam As-Syafie sebenarnya turut diwajibkan ke atas mereka dengan ibadah puasa dan dikira berdosa atas sebab meninggalkannya ketika mereka kafir. Pada Hari Pembalasan, akan ditambah azab ke atas mereka selain azab atas sebab kekufuran mereka.

Turut diselit dalam ceramah yang disampaikan, pengalaman Ustaz Bilal semasa menjalani ibadah puasa Ramadan di Mesir. Menurutnya, umat Islam di Mesir terutama pemudanya begitu bersungguh-sungguh menghidupkan bulan Ramadan dengan amal ibadah termasuk menghidupkan keseluruhan malam ke-27 Ramadan dengan beriktikaf di masjid-masjid bagi meraih kelebihan Lailatul-Qadr, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Menutup sesi ceramah, beliau mengajak para hadirin untuk menghayati pengajaran daripada hadis baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang kematianmu.”

“Berapa ramai orang yang setelah berakhir Ramadan, berangan-angan dengan penuh mengharap untuk kembali memanfaatknnya sebagaimana berapa ramai manusia yang sudah meninggal dunia berangan-angan dengan penuh pengharapan untuk kembali ke dunia untuk mengerjakan amal kebajikan,”ujarnya.

Oleh,

Ust Zaizul Irshadi

AJK BIRO DAKWAH ISMA DHL

Umat Islam perlu miliki semula Al Aqsa

BANGI, 18 Mei – “Umat Islam seluruh dunia perlu ada perasaan untuk memiliki semula Masjid Al-Aqsa,” tegas Mejar Nadzri Musman, Perunding Aman Palestin Malaysia dalam program Israk Mikraj bersama masyarakat di Selangor baru-baru ini.

 

Dalam forum bertajuk – ‘Engkau Benar, Ya Rasulullah’ bersama Ustaz Azrin Samsuddin yang juga Perunding Aman Palestin, beliau berkata, orang Yahudi tanamkan sifat memiliki masjid ini dengan membawa anak-anak mereka yang masih kecil menziarahi masjid Al Aqsa pada setiap hari Jumaat.

 

Tambah beliau, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ke tiga destinasi, iaitu Masjidku (Masjid Nabawi), Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa.” Hadis ini bukanlah sengaja diadakan tetapi memberi motivasi tinggi kepada seluruh umat Islam untuk kembali menghidupkan masjid Al Aqsa ini.

“Terdapat fatwa baru oleh Mufti Al Aqsa iaitu Sheikh Ikrima Sabri bahawa dibolehkan bagi umat Islam itu untuk menziarahi Masjid Al Aqsa melalui Israel dengan dua niat, iaitu pertama, umat Islam mestilah tidak meredhai wang yang diberikan kepada Yahudi dan kedua, berniatlah untuk mendapatkan pahala 500 kali solat di Masjid Al Aqsa”, ulas beliau ketika ditanya berkaitan pendapat-pendapat yang tidak membenarkan orang Islam menziarahi Al Aqsa pada waktu ini.

 

Beliau menjelaskan sebagai seorang Muslim, menziarahi Masjid Al Aqsa merupakan salah satu sokongan iman buat rakyat Palestin yang sehingga kini sukar untuk memasuki masjid tersebut, di mana warga tempatan yang berumur 60 tahun ke atas sahaja yang dibenarkan masuk.

 

“Masjid Al Aqsa hanya dapat dimiliki sekiranya semua umat Islam bersatu tanpa mengira perbezaan ideologi dan politik”, kata beliau lagi.

 

Program anjuran Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat (ISMA-DHL) dengan kerjasama Badan Pengurusan Bersama (JMB) Camellia Court ini berjaya menarik kehadiran hampir 200 orang penduduk Taman Impian Putra, Selangor dan sekitarnya dengan melibatkan beberapa agensi di bawah ISMA termasuk I-Medik, Yayasan Ikhlas dan Aman Palestin.

 

Nur Syuhada Mohd Ataa

AJK Bidak ISMA DHL

PELAKSANAAN HUDUD LAMBANG KEBEBASAN UMAT ISLAM

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (36:Al-Ahzab)

Lambang kebebasan bagi umat Islam dalam ruang lingkup syariat ialah dengan melaksanakan syariat Allah itu sendiri. Ketika timbul isu cadangan pelaksanaan hudud di Malaysia, hal ini sedikit sebanyak menunjukkan masyarakat Islam di Malaysia sudah mula membebaskan diri mereka daripada penjajahan pemikiran yang tidak syarie. Hal ini jelas dinyatakan Allah dalam firmannya yang bermaksud seperti di dalam ayat 36 surah Al-Ahzab di atas, jalan keluar kepada kesesatan itu adalah dengan mentaati hukum hakam Allah dan RasulNya.

Penjajahan pemikiran umat Islam telah lama terjadi dalam segala aspek kehidupan termasuk dalam konteks pelaksanaan syariat Allah secara keseluruhannya. Umat Islam yang masih terjajah mindanya adalah umat Islam yang sehingga ke hari ini menolak mentah-mentah pelaksanaan syariat Islam. Satu contoh yang ingin dibawakan di sini ialah dalam konteks hak asasi manusia. Sememangnya Islam memberi hak yang selari dengan fitrah manusia tetapi ramai yang tidak tahu atau menanggap perkara ini asing daripada Islam. Bukankah kedatangan syariat Islam itu telah memberi kembali hak kepada bayi perempuan untuk terus hidup, hak manusia untuk merdeka, hak wanita untuk dihormati? Zaman jahiliyyah sudah cukup menjadi bukti kepincangan dan kesempitan pemikiran  dalam sejarah ketamadunan manusia yang tidak dipandu wahyu. Nah,  wahyu agung Rabb yang terkandung dalam ayat 36 , Surah Al-Ahzab (seperti dinyatakan di atas)  menjadi satu formula pembebasan manusia dari kesesatan adalah dengan mengikuti hukum hakam ditetapkan Allah.

Demi mencapai kebebasan umat Islam dalam ruang lingkup pelaksanaan syariat Allah, sesetengah pihak yang yakin sahaja tidak mencukupi, kerana hal ini perlu diyakini oleh semua umat Islam dengan sebenar-benar yakin. Yakin dengan syariat yang ditetapkan Allah dan percaya bahawa tiada yang lebih baik daripada undang-undang Islam. Hal ini sesuai dengan firman Allah pada ayat 50 dalam Surah Al-Maidah, yang bermaksud :

“ Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki? Dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”

Mengulas isu hudud di Kelantan, terdapat segelintir pihak yang menjadikan alasan masalah ekonomi di Kelantan sekarang ini lebih aula atau lebih utama untuk difikirkan jalan penyelesaiannya berbanding bermimpi di siang hari untuk melaksanakan hudud di Malaysia. Ya, benar, memang ekonomi di Kelantan kurang memberangsangkan berbanding di negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi itu tidak wajar dijadikan satu hujah untuk menolak pelaksanaan hudud. Paling tidak wajar juga apabila masyarakat lebih memandang isu ini dalam ruang lingkup politik bukan ruang lingkup syariah. Ini sangat bersalahan dengan konteks pemikiran sebenar berkenaan hudud. Tidak terkecuali juga ada golongan masyarakat mengaitkan kes jenayah di Malaysia yang saban waktu meningkat ini sebagai satu alasan untuk menyangkal keberkesanan pelaksanaan hudud, ingin sekali penulis bertanya, bukankah syariat Allah ini tujuannya untuk mengekang kezaliman atas muka bumi dan juga sebagai satu jalan dan pastinya solusi terbaik untuk mengatasi kes jenayah di negara ini?

Teringat akan Tun Dr Mahathir pada awal rancangan beliau ingin membina satu menara pencakar langit di Malaysia bagi menjadikan Malaysia terkenal di samping tujuan-tujuan lain,  banyak pihak memberikan kritikan, ada yang menginginkan Tun untuk memberhentikan projek tersebut. Tetapi Tun tetap dengan pendirian dan meneruskan projek itu sehingga kini kita lihat betapa gahnya Menara Berkembar Kuala Lumpur berdiri di tengah pusat ibu kota dan menjadi salah satu tarikan utama buat semua pengunjung dalam dan luar negara. Bukankah pendirian begini harus tersemat dalam isu pelaksanaan hudud ini?

Masih menjadi tanda tanya pada pihak kerajaan dalam pendirian mereka terhadap pelaksanaan hudud ini. Sekiranya kebebasan mutlak dalam konteks syariah ini masih tidak dapat dikecapi umat Islam, maka kita akan terus terkongkong dalam sempitnya pemikiran dan perasaan takut yang entah apa-apa terhadap syariat Allah ini. Suka penulis mengingatkan kembali ayat 50 dari Surah Al-Maidah , yang bermaksud:

“ Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki? Dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”  

Oleh:

Nur Syuhada Mohd Ataa

Biro Dakwah ISMA DHL

 

 

MENGHAYATI PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat maknawi (mukjizat yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera tetapi boleh diketahui dengan menggunakan kekuatan atau ketajaman akal fikiran) selain al-Quran Kalamullah yang dikurniakan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Hikmah terbesar peristiwa ini sangat besar sehingga sangat rugilah jika kita langsung tidak mengambil tahu mengenai peristiwa besar ini.

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Israk, 17:1)

Ramai yang tahu Israk dan Mikraj merupakan perjalanan Rasulullah SAW dari Mekah ke Baitulmaqdis dan dari Baitulmaqdis ke Sidratul Muntaha yang hanya mengambil masa satu malam sahaja. Subhanallah. Perjalanan yang begitu hebat ini menyebabkan ramai umat nabi ketika itu tidak dapat menerimanya dengan logik akal semata-mata melainkan dengan keimanan yang sebenar kepada Allah dan Rasul seperti yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda ﷺ mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”

Suka saya mengaitkan peristiwa Israk dan Mikraj ini dengan keimanan Saidina Abu Bakar. As-Siddiq, gelaran ini sangat istimewa dan hanya diberikan kepada Saidina Abu Bakar kerana beliau dengan mudah menerima peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dengan mudah tanpa sebarang persoalan atau kemusykilan (di samping perkara yang lain yang bersangkut paut dengan Rasulullah saw). Sebab itulah Rasulullah SAW telah membandingkan iman Saidina Abu Bakar dengan seluruh iman umat Islam iaitu tiada siapa yang dapat menandingi iman beliau jika dibandingkan dengan iman seluruh umat Islam.

“Jika ditimbang iman Abu Bakar As Siddiq dengan iman sekalian umat maka berat lagi iman Abu Bakar.”

“Kami pernah memilih orang terbaik di masa Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam. Kami pun memilih Abu Bakar, setelah itu Umar bin Khattab, lalu ‘Utsman bin Affan Radhiallahu’anhu” (HR. Bukhari)

Subhanallah.

Berbeza sekali dengan iman umat Islam sekarang ini. Ada segelintir yang sungguh senang sekali mempertikaikan hukum Allah. Bagaikan dia sudah tahu segala-galanya maka dia berkuasa untuk menolak sesuatu hukum itu tanpa rasa bersalah dan tanpa rasa berdosa. Tahukah dia setiap tindakan yang dilakukan akan diambil pertanggungjawabannya?

“Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung jawaban)?” (Qiyamah, 75:36)

Yang menjadi permasalahan sekarang mereka yang sudah tersesat jauh ini, ingin pula mengajak umat islam yang lain untuk turut sama tersesat dengan mereka. Bukankah sifat sebegini sama dengan sifat iblis yang sudah tersesat setelah tidak mahu menurut perintah Allah untuk sujud memberi hormat kepada Nabi Adam a.s. kemudian telah berjanji pula kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia agar bukan hanya iblis dan syaitan sahaja di dalam neraka tetapi manusia juga.

Masalah inilah yang selalu ISMA bangkitkan. Mereka yang tersesat ini mahu mengajak orang lain tutut tersesat bersamanya. Justeru, selain kita membongkar kerja jahat mereka yang ingin merosakkan umat Islam (mereka dibantu oleh orang luar, sudah tentu) kita harus selamatkan aqidah ummah dengan mengajak kembali kepada Islam sebenar dengan memperbetulkan kembali iman agar dapat mencontohi keimanan para sahabat yang mantap seperti iman Saidina Abu Bakar.

Semoga semakin ramai lagi rijal-rijal (pemuda-pemuda) dapat dilahirkan walau bagaimanapun pun dirinya agar terus komit dan tetap dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini tanpa ragu-ragu dan tanpa gentar. Amiinn.

“Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”. (Yusuf, 12: 108)

 

Oleh:

SITI NOR FATIHAH ZULKIFLI

Wartawan ISMA DHL

Hebahan | Sembang Kedai Kopi

Sembang Kedai Kopi2

Hujung minggu, Ahad ini anda buat apa? Ingin melepak pada petang itu?

Jom lepak sembang santai bersama orang kuat ISMA DHL. Siapa? Tentunya saudara Azib Asmangi, YDP ISMA DHL.

Kita tanya sendiri YDP apa itu ISMA? Apa isu-isu semasa dan pandangan ISMA? Bagaimana dakwah boleh berjalan di Daerah Hulu Langat ini? Dan apa-apa sahaja persoalan terbuku di hati! Bukan ke ini sembang santai?

Info lanjut? 17 Mei, 5pm, di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

Berminat? Reply ‘minat’.

ps: Ajak kawan-kawan sekali tau.

-Hubungi Syed 011-3739 4535