Category Archives: Berita Utama

Berita Utama merangkumi makluman, ucapan, dan hebahan kepada umum.

Fahamkan Masyarakat, Hudud Bertujuan Sebagai Pengajaran

DSC08324
Ustazah Nur Fatin Halil menerangkan isu hudud semasa usrah wanita yang membicarakan Petunjuk Wanita Solehah siri kedua

 

BANGI, 4 April – Hudud harus dilihat sebagai suatu pilihan hukuman yang terakhir dan memerlukan persediaan yang rapi sebelum dilaksanakan.

“Jangan sangkakan hudud itu sebagai suatu hukuman yang kejam,” jelas Ustazah Nur Fatin Halil sewaktu menyampaikan Usrah Wanita yang bertajuk Petunjuk Wanita Solehah semalam.

Jelas beliau lagi, untuk melaksanakan hukuman hudud terhadap seseorang, ia memerlukan siasatan yang rapi dan penelitian yang mendalam. Sekiranya terdapat keraguan dalam pensabitan jenayah, hudud tidak akan dilaksanakan namun pesalah tetap dikenakan hukuman yang dinamakan ta’zir. Bukan itu sahaja, hukuman hudud dalam Islam sangat adil disamping bertujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan.

“Jika menoleh situasi di Kelantan di mana isu pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah sedang hangat diperkatakan, sebenarnya kerajaan Kelantan telah berusaha ke arah pelaksanaan hukuman hudud.”

“Kerajaan negeri sudah merencanakan perkara ini secara berperingkat-peringkat sejak 20 tahun yang lalu menerusi penguatkuasaan syariat Islam, pemerkasaan mahkamah syariah, operasi-operasi pencegahan maksiat  dan sebagainya,” terang beliau lagi.

Namun, penerangan tentang hudud perlu diperluaskan lagi agar tidak disalah erti sebagai hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Usrah Wanita yang merupakan siri kedua ini menghuraikan isi kandungan ayat 1 hingga 10 daripada Surah An-Nur, di mana terdapat penjelasan mengenai beberapa hukuman hudud iaitu hukuman zina dan qazaf.

Hukuman zina yang disebut adalah seratus kali sebatan bagi penzina yang belum berkahwin, manakala penzina yang sudah berkahwin dikenakan hukuman rejam. Qazaf pula bermaksud menuduh seorang perempuan solehah sebagai penzina.

Jika si lelaki tersebut tidak dapat mendatangkan 4 orang saksi, maka orang yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf iaitu 80 kali sebatan dan kesaksiannya tidak akan diterima serta dilabel sebagai fasik.

Turut diterangkan hukuman li’an iaitu angkat sumpah seorang suami yang menyaksikan isterinya berzina dengan lelaki lain. Oleh sebab suami tersebut tidak dapat mendatangkan 4 orang saksi kerana hanya dirinya seorang yang menyaksikan perbuatan terkutuk itu, maka dia sendiri harus bersumpah dengan 4 kali sumpah dengan nama Allah sebagai ganti kepada 4 orang saksi dan sumpah kelima bahawa laknat Allah akan jatuh ke atasnya sekiranya dia berdusta.

Usrah wanita yang diadakan pada minggu pertama setiap bulan itu telah menerima kehadiran Ketua Muslimat Surau Al-Islah iaitu Puan Hajjah Nordina Bt Mustafa yang amat menghargai usaha Wanita ISMA Hulu Langat dalam mengimarahkan surau dengan program usrah bulanan seperti ini.

 

Disediakan oleh

Nurul Husna Che Hamzah

Wartawan media ISMA

Manusia Harus Mengetahui Hakikat Hidup Yang Sebenar

photo_2015-03-28_17-17-12

BANGI, 28 Mac – Ramai manusia yang sukar menjawab persoalan tujuan hidup di dunia lantaran tiada panduan hidup yang hakikatnya hidup manusia untuk akhirat sahaja ujar penceramah bebas, Ustaz Bilal Jailani selaku Tokoh Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat (ISMA DHL).

 

Dalam Usrah Umum ISMA DHL di Surau Al-Amirin, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi Khamis lalu, Ustaz Bilal menyentuh seorang muslim hidupnya di dunia adalah semata-mata mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini kerana, dunia ini sesungguhnya tiada nilaiannya di sisi Allah.

 

Ujar beliau lagi, “Nilai kehidupan yang kita ada di dunia ini ibarat sebelah sayap nyamuk sahaja berdasarkan hadis riwayat At-Tirmidzi nombor 2320; ‘Seandainya dunia punya nilai di sisi Allah walau hanya menyamai nilai sebelah sayap nyamuk, niscaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir seteguk air pun.’

 

“Kita harus insafi diri dengan menghilangkan cinta dunia dan takutkan kematian serta fokus kepada apa yang dijanjikan Allah di akhirat kelak kepada orang yang beriman”.

 

“Ibadah yang harus kita jalani bukan hanya setakat solat, puasa tetapi ibadah-ibadah umum seperti tidur. Tidur juga boleh menjadi ibadah apabila diniatkan kerana Allah dan dapat mengembalikan tenaga untuk kita melakukan ibadah-ibadah lain.”

 

Beliau menambah, seorang Muslim itu tidak cukup sekadar menjadi soleh, tetapi haruslah menjadi seorang Muslih iaitu berbuat kepada orang lain dan mengajak mereka berbuat kebaikan. Semua umat Islam kena pastikan semua manusia di sekeliling tunduk dan patuh kepada Allah yakni beriman dan beribadah kepada Allah. Justeru semua ini akan menjadi saksi di hadapan Allah pada hari akhirat nanti.

 

Kesimpulannya, dunia ini hanyalah tempat kita bercucuk tanam yakni berbuat ibadah kepada Allah dan menuai hasilnya di akhirat kelak. Selain itu juga, dunia ini tidak cukup sekadar kita beribadah seorang diri tetapi juga hendaklah kita mengajak semua manusia untuk beriman dan beribadah kepada Allah. Inilah tujuan hidup seorang manusia.

Disediakan oleh,

Siti Nor Fatihah bt Zulkifli dan Nur Syuhada Mohd Ataa

Wartawan ISMA DHL

Jemputan menghadiri Usrah Umum – Hakikat kehidupan

usrah umum 26MAC2015

 

Assalamualaikum wbt,

Dengan segala hormatnya dijemput Tuan / Puan / Encik / Cik ke Usrah Umum yang akan disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Bilal Jailani seperti berikut:

Tajuk: Hakikat Kehidupan
Tempat: Surau Al-Amirin Bandar Baru Bangi,
Jalan 4/9 c. Seksyen 4, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Tarikh: 26 Mac 2015, Khamis (9.oo malam)

Anjuran: ISMA Cawangan Hulu Langat
Moga dengan kehadiran Tuan/Puan/Encik/Cik akan memeriahkan lagi program ini.

 

Duit Isteri Hak Siapa

DSC_0270

BANGI, 14 Mac –  Satu kuliah fiqh wanita anjuran Surau As-Sumayyah, Intana Ria dengan kerjasama Wanita ISMA Daerah Hulu Langat telah diadakan malam tadi.

Ustazah Ummu Khadijah yang merupakan lulusan dalam bidang Syariah wal Qanun dari Universiti Al-Azhar, Mesir berkata bahawa seorang isteri wajib taat dan patuh kepada  arahan suaminya.

“Jika seorang isteri melawan cakap suaminya yang melarang dirinya keluar bekerja dengan tetap keluar bekerja sedangkan suaminya mampu menanggung mereka anak-beranak, maka isterinya dikira berdosa,” jelas Ustazah Ummu Khadijah.

Kuliah fiqh tersebut telah disampaikan dengan gaya santai dan bersahaja serta memberikan kebebasan kepada para hadirin untuk menanyakan soalan berkaitan hukum gaji yang dimiliki seorang isteri, samada ia hak peribadi seorang isteri atau untuk keluarganya.

“Kita melihat banyak kes perceraian yang berlaku disebabkan oleh masalah duit dalam keluarga. Seorang suami haruslah memberi nafkah yang terbaik kepada isteri dan anak-anak kerana tanggungjawab tersebut akan disoal di hadapan Allah kelak.”

“Hubungan yang berlandaskan keimanan kepada Allah yang akan memberi kebahagiaan berkekalan kepada sebuah keluarga, bukannya hubungan suami isteri yang berlandaskan materialistik dan keduniaan semata-mata,” terang beliau lagi.

Kuliah ini dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah dan penyampaian cenderamata kepada isteri pengerusi Surau As-Sumayyah sebagai tanda penghargaan kerana memberi peluang kepada Wanita ISMA untuk mendekati masyarakat dan menyampaikan ilmu fiqh kepada mereka.

 

Nurul Husna Che Hamzah

Wartawan Media ISMA

Wanita solehah asas pembentukan keluarga dan masyarakat muslim

P3070092-2

BANGI, 7 Mac – Wanita memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan sebuah keluarga dan masyarakat muslim. Demikian kata Ustazah Nurul Fahimah ketika usrah wanita yang bertajuk Petunjuk Wanita Solehah baru-baru ini.

“Dalam ayat 1-3 Surah An-Nur, Allah berfirman mengenai penzina perempuan dan penzina lelaki. Penzina perempuan disebut dahulu kemudian diikuti penzina lelaki kerana wanita adalah pencetus yang menyebabkan zina,”tegas beliau.

Wanita yang bermaruah akan menjaga dirinya daripada menarik perhatian kaum lelaki yang boleh menyebabkannya terjerumus dalam perkara maksiat.

Fitrah manusia adalah menginginkan kebaikan setiap masa. Namun, fitrah itu haruslah diurus dengan bijaksana supaya tidak terpengaruh dengan hawa nafsu dan godaan syaitan.

Gejala sosial dan masalah salahlaku yang berlaku kini antaranya adalah disebabkan oleh pengabaian terhadap peradaban-peradaban dan akhlak-akhlak yang ditanam di dalam fitrah manusia.

“Ayat-ayat di dalam surah ini (An-Nur) memperingatkan kembali agar mereka kembali semula kepada logik fitrah yang amat jelas itu,” jelas beliau.

Islam tidak hanya bergantung kepada hukuman-hukuman keseksaan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bersih, malah segala sesuatu yang lain ia bergantung kepada usaha-usaha pencegahan.

“Ramai yang menganggap hukuman hudud itu adalah kejam sedangkan ini adalah salah faham akibat ceteknya ilmu tentang cara pelaksanan hudud yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadis,” jelas beliau.

Usrah wanita yang diadakan secara berkala itu telah menarik minat wanita-wanita berkerjaya sekitar Sekyen 7 Bangi untuk datang mendengar dan menambah ilmu sekaligus dapat menjalinkan silaturrahim bersama-sama wanita ISMA.

 

Nurul Husna Che Hamzah

Wartawan media ISMA