Category Archives: Komuniti

Kurang Nilai Hidup Islam Faktor Akhlak Remaja Runtuh

photo_2016-02-02_10-30-53

BANGI, 31 Jan – “Antara faktor utama keruntuhan akhlak di kalangan remaja hari ini adalah kerana mereka kurang didedahkan kepada penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian”, demikian ujar Ustazah Nur Fatin Halil, graduan Universiti Al-Azhar, ketika menyampaikan pengisian dalam Siri usrah wanita di Surau Nur Idaman hari ini.

Usrah wanita kali ini membincangkan tentang tafsir wanita dalam Al-Quran yang dipetik dari surah An-Nur.

Ayat ke-27 dari surah An-Nur misalnya banyak menceritakan tentang adab meminta izin apabila hendak memasuki rumah orang lain dan ia juga wajib dipraktikkan sesama ahli keluarga di rumah sendiri.

“Kalau kita lihat sekarang, isu keruntuhan akhlak remaja sekarang banyak berpunca daripada kurangnya kefahaman agama oleh ibu bapa sendiri, contohnya dalam bab meminta izin yang kurang diamalkan dalam keluarga muslim.

“Ramai yang tidak tahu bahawa di dalam Islam, ada ketikanya anak-anak tidak dibenarkan untuk mengganggu ibu bapa di dalam bilik dan jika terpaksa, mereka perlu meminta izin seperti sebelum subuh, sewaktu tengahari dan waktu malam selepas Isyak, “ tegas beliau lagi.

Akibat kurangnya kefahaman agama seperti ini, kesannya dapat kita lihat melalui keruntuhan akhlak remaja sekarang seperti kes sumbang mahram, rogol dan sebagainya yang kerap sekali terpampang di dada-dada akhbar.

Malah, apa yang lebih menyedihkan ialah apabila anak-anak yang terjebak dalam kancah maksiat itu mengakui bahawa mereka berbuat demikian akibat terpengaruh dengan sikap ibu bapa sendiri yang menggalakkan aktiviti maksiat itu bermula dari rumah seperti menonton video dengan unsur pornografi bersama ahli keluarga lain.

Usrah wanita adalah satu program berkala yang diadakan di beberapa tempat sekitar Bandar Baru Bangi seperti Surau Nur Idaman, Seksyen 5 dan surau perumahan Taman Nadayu 92.

Malaysia Perlu Kesatuan Yang Kuat Hadapi Ancaman TPPA

photo_2016-01-17_09-58-5317 Januari, Sepang – “Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) adalah sebahagian perancangan kuasa besar dunia menekan negara-negara terlibat termasuk Malaysia. Justeru, rakyat Malaysia perlu satu kesatuan yang kuat menyatakan bantahan bagi menghadapi ancaman besar ini”. Ustaz Hazizi Abdul Rahman, Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata demikian dalam satu sesi penerangan berkaitan ancaman TPPA terhadap Malaysia di sini semalam.

Dijemput bagi mengisi kuliah Maghrib di Surau Desa Vista, Sepang, Ustaz Hazizi menjelaskan bahawa TPPA merupakan perancangan kapitalis Yahudi dengan menjadikan Amerika Syarikat sebagai boneka bertujuan semata-mata untuk menguntungkan golongan kapitalis. Atas sebab itu, perjanjian ini bahkan ditolak oleh sebahagian rakyat Amerika sendiri termasuk salah seorang Senator, Elizabeth Warren yang diugut untuk ditarik balik peruntukan dana politik untuknya kerana menyatakan bantahan terhadap perjanjian ini.

Sambungnya lagi, “ TPPA bukan semata-mata perjanjian yang melibatkan perniagaan dan ekonomi, bahkan turut berkait dengan ketenteraan, politik dan juga kedaulatan undang-undang sesebuah Negara.”

photo_2016-01-17_09-58-47

Memetik salah satu sisi penting daripada TPPA iaitu Investor States Dispute Settlement (ISDS), Ustaz Hazizi menyebut sesebuah kerajaan boleh didakwa di Tribunal Antarabangsa oleh pihak pelabur asing sekiranya ada undang-undang yang dipinda selepas TPPA ditandatangi dan ia mengugat kepentingan pelabur asing. Berdasarkan rekod, majoriti kes yang dibicarakan di Tribunal Antarabangsa ini berakhir dengan saman ke atas kerajaan yang terlibat yang mencecah berbillion dollar. Secara ringkas, boleh difahami bahawa kewujudan ISDS melalui TPPA ini akan menggugat kedaulatan undang-undang sesebuah negara.

Walaupun dimaklumkan manfaat yang diterima daripada TPPA seperti kemasukan pelaburan asing ke dalam negara dan peluang memasarkan produk tempatan ke negara luar yang menandatangani perjanjian termasuk Amerika, perlu diingat, dengan termeterainya TPPA, syarikat-syarikat bumiputera dan tempatan yang lain terpaksa bersaing dalam persaingan berat sebelah dengan syarikat-syarikat gergasi multinasional luar negara. Ini jelas akan menjejaskan bahkan mungkin menyebabkan syarikat-syarikat tempatan dengan modal yang kecil terpaksa gulung tikar.

Menambahkan kebimbangan rakyat, kerajaan Malaysia dilihat tidak bersikap telus apabila teks perjanjian tidak didedahkan kepada umum sepanjang lima tahun rundingan berlangsung. Teks perjanjian hanya didedahkan setelah ia dimuktamadkan dan tidak boleh lagi dipinda.

Di akhir sesi penerangan, Ustaz Hazizi sekali lagi mengingatkan bahawa rakyat Malaysia perlu membentuk suatu kesatuan yang kuat dalam menyatakan bantahan terhadap TPPA sebelum perjanjian ini dimuktamadkan Februari ini.

Mengulas berkenaan program, Timbalan Pengerusi Surau Desa Vista mengalu-alukan kesudian Ustaz Hazizi berkongsi input berkenaan TPPA dan mengharapkan jemaah yang hadir dapat memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia dalam sama-sama menyatakan bantahan.

 

ISMA DHL dan Masjid Ar-Redho Sepang anjur Forum ‘Rasulullah Qudwah Kekuatan Ummah’ sempena Maulidurrasul

photo_2015-12-20_15-58-16

SEPANG, Sabtu – Pada 19 Disember 2015, Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Daerah Hulu Langat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti NAZIM, i-Medik, Pusat Komuniti ISMA Sepang dan pihak jawatankuasa Masjid Ar-Redha, Sepang telah menjayakan program bersempena Maulidurrasul yang bakal menjelma tidak lama lagi. Kemuncak program ini ialah forum ‘Rasulullah Qudwah Kekuatan Ummah’. Ahli panel terdiri daripada, Dr Noor Azizi Ismail, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM dan Dr Mohd Ihsanuddin Abas, Pensyarah Perubatan Pelatih UniSZA. Turut bersama-sama ialah Saudara Muhammad Hanafi, Presiden PEMBINA UKM selaku moderator pada malam tersebut.

Di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21, Allah telah berfirman, yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu uswatun hasanah (suri teladan yang baik) bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

Berdasarkan ayat di atas, Dr Noor Azizi telah menyatakan belum ada dalam mana-mana sejarah tokoh di seluruh dunia yang sehebat dan setanding Rasulullah. Rasulullah telah menjadi qudwah atau teladan dari sejak baginda kecil sehingga wafat sebagai pemimpin agung dunia. Rasulullah juga hebat dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Sebagai contoh, Rasulullah sangat lembut terhadap kanak-kanak dan apabila di medan perang, Rasulullah juga yang paling gagah dan berani.

Selain itu juga, antara isi menarik yg dikongsi oleh Dr. Mohd Ihsanuddin berkenaan qudwah baginda yang umat pada hari ini terlepas pandang ialah dari aspek kesihatan. Berapakah umur baginda ketika baginda menyertai perang Badar dan Uhud  dan juga beberapa siri peperangan yang lain?

Umur baginda ketika menerima wahyu pun sudah mencecah 40 tahun. Bayangkan betapa kuat dan sihatnya Rasulullah walau di usia sebegitu. Perkara ini adalah satu muhasabah untuk diri kita. Ramai rakyat Malaysia yang belum pun mencecah 30 tahun sudah menghidapi pelbagai penyakit akibat gaya hidup  dan pemakanan yang tidak sihat. Oleh itu, marilah kita bertanya kepada diri sendiri, bagaimanakah kita mahu memimpin umat ini jika kesihatan diri sendiri tidak dijaga?

Program semalam bermula dengan aktiviti ‘Eksperimen Sains’ dengan anak-anak qariah Masjid Ar-Redha yang dikendalikan menggunakan modul Raudhatul Huffaz, kemudian juga terdapat pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk tempatan. Program ini telah berjalan dengan baik dan berakhir pada jam 11 malam.

Semoga kerjasama seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.

Karnival Anak Watan: Memupuk sifat cinta negara

IMG_7575

BANGI, 25 Okt- “Objektif utama Karnival Anak Watan adalah untuk menjelaskan bahawa ISMA wujud dan berusaha untuk membangunkan semula jati diri anak bangsa.”

Berkata Yang dipertua ISMA cawangan Hulu Langat, Encik Mohd Noor Azib Asmangi pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Watan anjuran ISMA cawangan Hulu Langat baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, “ISMA bukanlah sebuah pertubuhan rasis dan ekstrimis seperti yang dicanang oleh media pro liberal (MalaysiaKini dan Malaysian Insider). Bahkan kami adalah NGO sederhana yang berjuang untuk membangunkan anak bangsa.”

Karnival Anak Watan yang julung-julung kalinya diadakan itu telah berlangsung di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Kira-kira seramai lebih seribu orang pengunjung yang hadir ke karnival tersebut.

“Anak watan dijadikan tema sempena Hari Malaysia. Ia bertujuan untuk menerapkan semangat cintakan tanah air. Tanah ini adalah tanah air kita, umat Islam dan bangsa Melayu. Oleh itu, kita hendaklah merasa izzah dan bangkit untuk memimpin umat dengan ajaran Islam yang sebenar.”

Bercakap Noor Azib di pentas utama yang disaksikan oleh tetamu kehormat, YB Haji Shafie Ngah, ADUN Bangi sebagai perasmi Karnival Anak Watan ISMA DHL.

Yang dipertua ISMA DHL mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir termasuk Yang dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan seluruh penduduk Bandar Baru Bangi yang sudi memeriahkan karnival dengan harapan supaya ISMA dapat dikenali dengan lebih dekat.

 

Nurul Hajjar Atan

Wartawan ISMA DHL

Program korban ISMA DHL seru kesatuan ummah

 

IMG_6460

BANGI, 25 September – Aidil Adha 1436H ini, Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat (ISMA DHL) bersama Yayasan Ikhlas dan Persatuan Belia Islam Cawangan Bangi (PEMBINA Bangi) telah menjayakan ibadah korban dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Surau As-Sumayyah, Apartment Intana Ria, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Umumnya memang diketahui bahawa manifestasi ibadah korban itu adalah pengharapan terhadap keredhaan Allah SWT. Ia adalah salah satu pendekatan yang boleh dilakukan selain melakukan ibadah atau amal kebajikan yang lain. Di samping itu projek korban kali ini dapat merapatkan tali silaturrahim antara pihak ISMA dengan masyarakat. ISMA sebagai pertubuhan islam sederhana ingin terus berkhidmat kepada masyarakat dengan keupayaan yang ada. Selain menawarkan program-program pembangunan insan kepada remaja dan belia, ISMA juga berusaha untuk menerapkan nilai-nilai murni dan kemasyarakatan khususnya dalam usaha untuk memupuk kesepakatan ummah.

Daging sembelihan ibadah korban ini diagihkan ke rumah-rumah penduduk setempat dan sebahagian dijamu kepada kariah yang terlibat menjayakan ibadah kurban.

Program ini turut disertai oleh Yang Di-Pertua ISMA DHL, Saudara Mohd Noor Azib Asmangi. Menurut Saudara Azib, beliau mengharapkan agar ibrah dari majlis korban Aidil Adha ini dapat menjadikan kita umat Islam yang lebih taat kepada tuntutan Al-Quran untuk terus bersatu padu menegakkan syariat dan menghadapi ancaman musuh.

Saudara Syafiq Saidin, selaku Pengarah Projek Korban ini ketika ditemu bual menyebut, ibadah korban anjuran ISMA kerjasama Yayasan Ikhlas dan PEMBINA turut diadakan di banyak tempat di seluruh negara selain projek korban di Aceh dan Kemboja.

Program yang berjalan dari pagi selepas solat sunat Aidil Adha ini berakhir hingga ke petang dan diharapkan kerjasama yang terjalin dengan masyarakat setempat ini dapat diteruskan lagi untuk program-program yang lain juga. Tambah Saudara Azib lagi, beliau mengucapkan terima kasih kepada warga Intana Ria khususnya kerana memberi laluan untuk kerjasama erat ini.

 

photo_2015-09-26_22-32-29

Disediakan oleh,

Syuhada Ataa

Media ISMA DHL