Category Archives: Tazkirah/Kuliyah

PEMBINA Menyeru Mahasiswa Prihatin Isu Comango

1780272_10201603835473789_1507476753_o-copy

Serdang, 19 Feb – “Dalam situasi hari ini, COMANGO merupakan satu ancaman kepada kita semua sebagai umat Islam kerana tuntutan COMANGO sama sekali tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan negara kita ”

Mantan Presiden PEMBINA UPM dan juga Timbalan Naib Yang Dipertua Biro Kebajikan, MPP UPM, Luqman B. Abd Hamid berkata demikian dalam satu diskusi ilmiah bertajuk “COMANGO Pengkhianat Negara” di Surau Serumpun, UPM selepas selesai solat maghrib berjemaah.

Saudara Luqman turut berkongsi kepada mahasisiwa mengenai beberapa tuntutan dalam laporan COMANGO. Antaranya ialah menuntut supaya Malaysia menandatangani dan memeteraikan International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Ini mengizinkan umat Islam untuk murtad tanpa boleh diambil tindakan.

“COMANGO juga menuntut agar negara mengiktiraf hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang mengamalkan seks songsang. Tuntutan ini amat bertentangan dengan ajaran agama Islam malah jauh dari nilai ketimuran kita sebagai orang Melayu”, ujar Luqman dengan tegas.

COMANGO juga membuat tuntutan supaya menghapuskan Fasa 153 Perlembagaan yang memberikan hak keistimewaan kepada orang Melayu.

Luqman menegaskan supaya hak-hak sebagai orang Melayu perlu dipertahankan kerana keistimewaan yang diperoleh sehingga hari ini adalah hasil perjuangan orang Melayu itu sendiri dalam sejarah kemerdekaan selepas penjajahan Barat.

“Mahasiswa juga harus kongsikan keprihatinan dengan menyebarkan maklumat ancaman COMANGO melalui Facebook, Twitter dan semua saluran media sosial yang ada pada masa kini serta melakukan bacaan dan kajian lanjut mengenai isu ini”, tegas Luqman mengenai peranan mahasiswa.

COMANGO – Coalition of Malaysian NGOs – merupakan gerakan liberal yang berniat hendak mengubah perlembagaan Malaysia dengan menghasut negara-negara luar agar menekan kerajaan Malaysia untuk tunduk kepada undang-undang hak asasi manusia sejagat dalam sesi persidangan The Universal Periodic Review (UPR) Of Human Rights di Geneva tahun lepas.

 

Noor Khairina
Wartawan PEMBINA UPM

 Sumber : www.pembinabangi.com

Islam Tidak Menolak Peranan Bangsa

IMG_20140226_213441

IMG_20140226_213348

 

Bandar Baru Bangi, 26 Feb 2014 ─ ISMA memperkasakan bangsa Melayu bukan kerana memperjuangkan bangsa Melayu, tetapi kerana bangsa Melayu membawa imej Islam di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika musuh-musuh Islam cuba menghancurkan Islam dengan merosakkan jati diri bangsa Melayu serta cuba mempersoalkan hak kesamarataan bangsa. Demikian ditegaskan oleh Yang Di Pertua ISMA Hulu Langat, Mohd Noor Azib Bin Asmangi ketika memberikan penyampaian dalam usrah umum bulanan di Pejabat ISMA Hulu Langat semalam. Menurut beliau, terdapat segolongan puak Kristian yang digelar ‘Evengelist’ yang ditugaskan dalam kerja-kerja mengkristiankan umat Islam di Malaysia.

Di dalam usrah umum semalam beliau menyebut bahawa memang ada hadith yang melarang umat Islam menyeru kepada as-sobiyyah dan hadith inilah yang dicanang-canangkan oleh pihak tertentu untuk merosakkan persepakatan bangsa Melayu. Tetapi terdapat pula hadith lain yang memperincikan lagi maksud larangan tersebut. DI dalam hadith yang lain, terdapat seorang sahabat adakah dia termasuk dalam kalangan kelompok assobiyyah sekiranya dia mencintai kaumnya, Nabi S.A.W menjawab ‘Tidak, akan tetapi termasuk dalam kalangan assobiyyah itu seseorang yang menolong kaumnya kea rah kemungkaran.

Beliau juga turut menyentuh isu Tahaluf Siyasi, iaitu kerjasama politik dengan bukan di mana Islam hanya membenarkan Tahaluf Siyasi dengan bukan Islam sekiranya umat Islam mendominasi keadaan tersebut serta lebih kuat daripada kelompok bukan Islam yang bekerjasama dengan mereka bagi mengelakkan kelompok bukan Islam mengambil kesempatan di atas umat Islam yang lemah pada ketika itu.

Menurut beliau lagi, Islam tidak pernah menolak peranan bangsa dalam pembangunan Islam. Allah menciptakan manusia dari berbagai-bagai bangsa dan suku untuk saling kenal-mengenali serta menggunakan kelebihan masing-masing untuk membina tamadun Islam yang unggul.Di dalam sejarah masyarakat Arab, bangsa Quraisy merupakan bangsa yang paling kuat dan berpengaruh di kalangan bangsa Arab yang lain. Oleh itu, merekalah yang paling layak untuk memimpin masyarakat Arab pada ketika itu.

Dalam usrah tersebut juga beliau juga menyentuh tentang dakwaan yang mengatakan orang Melayu adalah bangsa yang paling ramai terlibat dalam gejala social berbanding bangsa yang lain. Jika dilihat dari sudut angka bilangan sahaja sememangnya orang Melayu adalah yang paling tinggi nilai angkanya dalam keterlibatan gejala sosial. Namun jika dilihat dari sudut peratusan perbezaannya tidaklah terlalu jauh berbanding bangsa yang lain. Hal ini kerana peratus jumlah bangsa Melayu di Malaysia jauh lebih tinggi berbandingkan denga bangsa-bangsa yang. Jadi tidak hairanlah bilangan orang Melayu yang terlibat dengan gejala sosial lebih tinggi nilai angkanya. Walaubagaimanapun, sebenarnya masih ramai orang Melayu yang baik serta mengamalkan cara hidup Islam dan peratusannya juga masih tinggi.Jadi bangsa Melayu bukanlah satu bangsa yang lemah.

Berdasarkan isu semasa beliau berkata terdapat usaha-usaha pihak-pihak tertentu yang cuba manghapuskan identiti bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan Islam di Malaysia antaranya  ialah dengan mengadakan dialog perpaduan kaum yang susun atur oleh puak-puak liberalisme bagi meleraikan ikatan umat Islam melalui perpaduan bangsa Melayu. Puak-puak liberalisme ini mendakwa bahawa sudah sampai masanya sempadan bangsa dihapuskan bagi mewujudkan hanya satu bangsa sahaja di Malaysia. Keadaan ini menurut beliau mengancam kedudukan Islam kerana dengan menghapuskan identiti bangsa, maka tidak ada lagi kelompok yang akan menjaga kesucian Islam sekiranya digugat oleh musuh-musuh Islam. Oleh itu, beliau menasihatkan supaya umat Islam tidak terperangkap dengan salah dakwaan bahawa ISMA adalah satu badan NGO yang rasis kerana agenda sebenarnya ingin ditegakkan oleh ISMA adalah Islam itu sendiri.

 

Ahli Sunnah wal Jamaah Bukanlah kepada golongan tertentu sahaja.

Ustaz Fauzi Asmuni Kuliah Tafaqquh Fid Deen

 

Bandar Baru Bangi, 19 Februari 2013 – Ahli Sunnah wal Jamaah bukanlah kepada golongan tertentu sahaja. Ia merujuk kepada sesiapa sahaja yang mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Demikian dijelaskan oleh Ustaz Fauzi Asmuni ketika menyampaikan Kuliah Tafaqquh Fid Deen di Surau Al-Islah, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.

Menurut beliau, terdapat perkara-perkara di dalam Islam yang bersifat tetap dan ada yang berubah-ubah yang mana perkara yang berubah-ubah tersebut tidak mengeluarkan sesorang daripada kelompok Ahli Sunnah wal Jamaah sekiranya terdapat perselisihan sesama umat Islam dalam perkara tersebut.

Menurut beliau lagi terdapat sekumpulan manusia yang menggelar diri mereka sebagai kumpulan ASWAJA(Ahli Sunnah Wal Jamaah) di mana kumpulan ini telah membuat satu tafrifan yang sempit.Tambah beliau,kumpulan ASWAJA ini mempunyai beberapa ciri antaranya:-

1)    Mereka hanya berpegang kepada empat sumber Perundangan Islam iaitu:-

  1. Al-Qur’an
  2. Hadith
  3. Ijmak Ulama
  4. Al-Qias

 

2)    Mereka hanya mengiktiraf 2 aliran sahaja iaitu aliran As-Sya’irah & Al- Mathuridiah.

 

3)    Mereka yang bertaklid kepada 4 mazhab sahaja sedangkan terdapat banyak lagi mazhab-mazhab lain yang tidak begitu dikenali.

 

4)    Mereka hanya merujuk kepada Al-Imam Al-Junaidi dalam permasalahan- permasalahan tasawwuf.

 

Di Dalam kuliah tersebut, beliau turut menceritakan asal usul perkataan Ahli Sunnah wal Jamaah yang diambil daripada Hadith Nabi S.A.W yang menyebut bahawa umat baginda berpecah kepada 73 golongan, kesemuanya akan dimasukkan ke dalam api neraka kecuali satu golongan iaitu golongan yang digelar al-Jamaah. Ketika itu sahabat Nabi bertanya tentang siapakah al-Jamaah itu? Lalu baginda menjawab bahawa al- Jamaah itu ialah apa yang dilalui oleh baginda & sahabat-sahabatnya.

 

Secara ringkas beliau menyebut bahawa Ahli Sunnah wal Jamaah ialah umat Islam yang mengamalkan Islam berdasarkan sunnah walaupun mempunyai pelbagai cara ibadah. Beliau juga memberitahu bahawa 71 golongan yang dimaksudkan adalah orang bukan Islam seperti Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain agama lagi.

Di dalam Hadith yang Nabi S.A.W menyebut akan tiba suatu zaman di mana ada sekumpulan manusia yang kelihatan baik tetapi menyeru manusia ke neraka. Ketika itu Nabi berpesan supaya bersama-sama jamaah Muslimin dan pimpinan mereka. Jika tiada, tinggalkan sahaja kumpulan yang sesat tersebut. Menurut beliau, berdasarkan kepada Hadith ini, umat Islam perlu berpegang kepada jalan yang dilalui oleh Nabi S.A.W dan para sahabat walaupun bilangannya sedikit.

Sebelum berakhir, beliau turut menerangkan dua ciri yang ada pada ahli Sunnah wal Jamaah iaitu taat kepada pimpinan Islam serta tidak memberontak kepada Jamaah Islam dengan senjata.