Tag Archives: Ikatan Muslimin Malaysia ISMA Cawangan Hulu Langat

Jaga maruah diri untuk elak fitnah

File_000

 

BANGI, 28 Feb – Menjaga maruah diri adalah kewajipan bagi setiap muslim untuk mengelakkan tersebarnya fitnah yang boleh menghancurkan ummat.

“Peristiwa Hadis Al-Ifk (Cerita Dusta) yang berlaku dalam rumah tangga Rasulullah s.a.w dan fitnah yang menimpa Aishah membuktikan begitu mudah fitnah tersebar dan mampu memporakperandakan institusi keluarga dan masyarakat,“ jelas Ustazah Nur Fatin Halil sewaktu menyampaikan Usrah Wanita di Surau Bangi Idaman semalam.

Jelas Ustazah Fatin lagi, semasa Aisyah r.a. difitnah, suasana ketika itu sangat huru-hara dengan semua orang mempercayai dan menyebarkan fitnah lalu menyebabkan Aisyah sangat tertekan kerana orang sekelilingnya turut mempercayai berita palsu tersebut.

Namun, kesucian Aisyah r.a. membuktikan bahawa berita palsu itu adalah bohong semata-mata dengan turunnya ayat ke-23 Surah An-Nur.

Terang beliau lagi, walaupun Aisyah r.a. berseorangan dengan seorang lelaki, namun beliau tetap menjaga maruahnya sebagai seorang wanita muslimah di sepanjang perjalanan.

“Normalisasi budaya berpasang-pasangan atau “couple” yang melanda remaja dan belia sekarang bukan sahaja akan mendatangkan kesan buruk yang akan menjatuhkan maruah seseorang wanita atau gadis muslimah, malah menghancurkan masa depan umat secara keseluruhan.

Seharusnya setiap ibu bapa prihatin dan memberi kasih sayang secukupnya kepada anak-anak kerana mereka yang terjebak dengan “couple” biasanya adalah orang yang kurang kasih sayang sehingga mencari kasih sayang dengan orang lain yang tidak sepatutnya sehingga berlakunya zina dan mengandung anak luar nikah,” ulas beliau lagi.

Ustazah Nur Fatin merupakan penceramah tetap Usrah Wanita di Surau Bangi Idaman, Seksyen 5 Bandar Baru Bangi yang diadakan secara berkala iaitu dua minggu sekali.

 

Nurul Husna Che Hamzah

Wartawan ISMA

Sifat kehambaan dalam diri akan membentuk jiwa seorang khalifah

 

IMGP0943

PUTRAJAYA, 6 Mac – Kita adalah pemimpin kepada diri sendiri, keluarga, adik beradik dan masyarakat. Demikian ucapan Ketua Wanita ISMA Cawangan Hulu Langat, Puan Shazamawati Zam Hashari ketika menyampaikan ceramah dalam program wawancara Milik Siapakah Gadis Ini sempena Ekspo Buku Islam Putrajaya semalam.

“Di hadapan kita hanya ada dua jalan sahaja iaitu jalan kesesatan dan jalan ketaqwaan. Kita yang akan memilih jalan mana yang patut dilalui. Segala-galanya bermula dari kita. Oleh itu, kita harus memimpin diri kita dahulu seiring dengan memimpin orang lain ke jalan yang diredhai Allah.

“Ini dapat dilakukan dengan cara kita berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, berdampingan dengan orang-orang yang soleh dan sebagainya,”jelas beliau lagi.

Beliau memetik dalam surah Al-Insan ayat ke-2 yang menerangkan kejadian manusia daripada setitis air mani yang hina sehingga menjadi seorang manusia yang ditaklifkan untuk menjadi khalifah yang akan memakmurkan bumi ini.

Terang beliau lagi, hidup manusia secara fitrahnya penuh dengan tanggungjawab dan harus menempuhi pelbagai halangan dan cubaan.

“Semasa proses kejadian manusia, hanya satu sperma sahaja daripada beribu-ribu sperma yang berjaya menembusi ovum lalu lahirlah manusia yang terpilih itu. Kemudian, semasa masih bayi, bayi terpaksa menangis dan perlahan-lahan merangkak dan bertatih untuk meneruskan hidup,”jelas beliau.

Ini sekaligus melatih manusia untuk belajar menghadapi rintangan dan seterusnya menjadi pemimpin yang dapat menegakkan syariat Allah di muka bumi ini.

Tema “Milik siapakah gadis ini” telah dipilih untuk memberi kesedaran bahawa diri kita semua adalah milik Allah secara total. Semua yang diberikan Allah hanyalah pinjaman buat sementara sahaja dan akan ditarik pada bila-bila masa.

Ini sekaligus dapat mengekang kita daripada melakukan perkara-perkara yang akan mendatangkan kemurkaan Allah kerana kita sebagai hamba amat mengharapkan keredhaanNya untuk mendapat syurga yang diimpi-impikan.

Wawancara yang bertempat di Dewan Cempaka Sari, Presint 3 Perbadanan Putrajaya kali ini telah diadakan selari dengan kempen menutup aurat yang dianjurkan oleh Wanita ISMA Daerah Hulu Langat.