Tag Archives: islam

Mini Karnival Kempen Selamatkan Ummah Bawa Mesej Ancaman Liberalisme Terhadap Umat Islam

 

BANGI, Selasa – Pelbagai aktiviti menarik dan aneka gerai pameran  akan menemui pengunjung di Mini Karnival Kempen Selamatkan Ummah anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kajang pada 2 April 2016 ini, bertemakan Liberalisme: Ancaman terhadap umat Islam di Malaysia.

“Mini Karnival ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya fahaman liberalisme terhadap aqidah umat Islam dan memberi kefahaman bahawa perlunya umat Islam di Malaysia ini menolak fahaman ini selain mempromosikan Isma kepada masyarakat setempat,” kata pengarah program, Puan Azura Ali, juga selaku Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Isma Kajang.

Pelbagai aktiviti menanti pengunjung seperti Peraduan Teka Silang Kata, Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, serta beberapa persembahan seperti persembahan flashmob, dan tayangan video. Selain itu juga, pada mini karnival ini nanti, masyarakat dapat mendengar penerangan khusus tentang ancaman liberalisme ini dalam slot Speaker Corner.

Orang ramai khususnya penduduk sekitar Putrajaya dijemput memeriahkan karnival itu yang akan berlangsung pada hari Sabtu, bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.30 tengahari di Medan Selera Seri Teja, Precint 9, Putrajaya.

photo_2016-03-29_15-30-35

 

PELAKSANAAN HUDUD LAMBANG KEBEBASAN UMAT ISLAM

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (36:Al-Ahzab)

Lambang kebebasan bagi umat Islam dalam ruang lingkup syariat ialah dengan melaksanakan syariat Allah itu sendiri. Ketika timbul isu cadangan pelaksanaan hudud di Malaysia, hal ini sedikit sebanyak menunjukkan masyarakat Islam di Malaysia sudah mula membebaskan diri mereka daripada penjajahan pemikiran yang tidak syarie. Hal ini jelas dinyatakan Allah dalam firmannya yang bermaksud seperti di dalam ayat 36 surah Al-Ahzab di atas, jalan keluar kepada kesesatan itu adalah dengan mentaati hukum hakam Allah dan RasulNya.

Penjajahan pemikiran umat Islam telah lama terjadi dalam segala aspek kehidupan termasuk dalam konteks pelaksanaan syariat Allah secara keseluruhannya. Umat Islam yang masih terjajah mindanya adalah umat Islam yang sehingga ke hari ini menolak mentah-mentah pelaksanaan syariat Islam. Satu contoh yang ingin dibawakan di sini ialah dalam konteks hak asasi manusia. Sememangnya Islam memberi hak yang selari dengan fitrah manusia tetapi ramai yang tidak tahu atau menanggap perkara ini asing daripada Islam. Bukankah kedatangan syariat Islam itu telah memberi kembali hak kepada bayi perempuan untuk terus hidup, hak manusia untuk merdeka, hak wanita untuk dihormati? Zaman jahiliyyah sudah cukup menjadi bukti kepincangan dan kesempitan pemikiran  dalam sejarah ketamadunan manusia yang tidak dipandu wahyu. Nah,  wahyu agung Rabb yang terkandung dalam ayat 36 , Surah Al-Ahzab (seperti dinyatakan di atas)  menjadi satu formula pembebasan manusia dari kesesatan adalah dengan mengikuti hukum hakam ditetapkan Allah.

Demi mencapai kebebasan umat Islam dalam ruang lingkup pelaksanaan syariat Allah, sesetengah pihak yang yakin sahaja tidak mencukupi, kerana hal ini perlu diyakini oleh semua umat Islam dengan sebenar-benar yakin. Yakin dengan syariat yang ditetapkan Allah dan percaya bahawa tiada yang lebih baik daripada undang-undang Islam. Hal ini sesuai dengan firman Allah pada ayat 50 dalam Surah Al-Maidah, yang bermaksud :

“ Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki? Dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”

Mengulas isu hudud di Kelantan, terdapat segelintir pihak yang menjadikan alasan masalah ekonomi di Kelantan sekarang ini lebih aula atau lebih utama untuk difikirkan jalan penyelesaiannya berbanding bermimpi di siang hari untuk melaksanakan hudud di Malaysia. Ya, benar, memang ekonomi di Kelantan kurang memberangsangkan berbanding di negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi itu tidak wajar dijadikan satu hujah untuk menolak pelaksanaan hudud. Paling tidak wajar juga apabila masyarakat lebih memandang isu ini dalam ruang lingkup politik bukan ruang lingkup syariah. Ini sangat bersalahan dengan konteks pemikiran sebenar berkenaan hudud. Tidak terkecuali juga ada golongan masyarakat mengaitkan kes jenayah di Malaysia yang saban waktu meningkat ini sebagai satu alasan untuk menyangkal keberkesanan pelaksanaan hudud, ingin sekali penulis bertanya, bukankah syariat Allah ini tujuannya untuk mengekang kezaliman atas muka bumi dan juga sebagai satu jalan dan pastinya solusi terbaik untuk mengatasi kes jenayah di negara ini?

Teringat akan Tun Dr Mahathir pada awal rancangan beliau ingin membina satu menara pencakar langit di Malaysia bagi menjadikan Malaysia terkenal di samping tujuan-tujuan lain,  banyak pihak memberikan kritikan, ada yang menginginkan Tun untuk memberhentikan projek tersebut. Tetapi Tun tetap dengan pendirian dan meneruskan projek itu sehingga kini kita lihat betapa gahnya Menara Berkembar Kuala Lumpur berdiri di tengah pusat ibu kota dan menjadi salah satu tarikan utama buat semua pengunjung dalam dan luar negara. Bukankah pendirian begini harus tersemat dalam isu pelaksanaan hudud ini?

Masih menjadi tanda tanya pada pihak kerajaan dalam pendirian mereka terhadap pelaksanaan hudud ini. Sekiranya kebebasan mutlak dalam konteks syariah ini masih tidak dapat dikecapi umat Islam, maka kita akan terus terkongkong dalam sempitnya pemikiran dan perasaan takut yang entah apa-apa terhadap syariat Allah ini. Suka penulis mengingatkan kembali ayat 50 dari Surah Al-Maidah , yang bermaksud:

“ Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki? Dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”  

Oleh:

Nur Syuhada Mohd Ataa

Biro Dakwah ISMA DHL

 

 

MENGHAYATI PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat maknawi (mukjizat yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera tetapi boleh diketahui dengan menggunakan kekuatan atau ketajaman akal fikiran) selain al-Quran Kalamullah yang dikurniakan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Hikmah terbesar peristiwa ini sangat besar sehingga sangat rugilah jika kita langsung tidak mengambil tahu mengenai peristiwa besar ini.

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Israk, 17:1)

Ramai yang tahu Israk dan Mikraj merupakan perjalanan Rasulullah SAW dari Mekah ke Baitulmaqdis dan dari Baitulmaqdis ke Sidratul Muntaha yang hanya mengambil masa satu malam sahaja. Subhanallah. Perjalanan yang begitu hebat ini menyebabkan ramai umat nabi ketika itu tidak dapat menerimanya dengan logik akal semata-mata melainkan dengan keimanan yang sebenar kepada Allah dan Rasul seperti yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda ﷺ mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”

Suka saya mengaitkan peristiwa Israk dan Mikraj ini dengan keimanan Saidina Abu Bakar. As-Siddiq, gelaran ini sangat istimewa dan hanya diberikan kepada Saidina Abu Bakar kerana beliau dengan mudah menerima peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dengan mudah tanpa sebarang persoalan atau kemusykilan (di samping perkara yang lain yang bersangkut paut dengan Rasulullah saw). Sebab itulah Rasulullah SAW telah membandingkan iman Saidina Abu Bakar dengan seluruh iman umat Islam iaitu tiada siapa yang dapat menandingi iman beliau jika dibandingkan dengan iman seluruh umat Islam.

“Jika ditimbang iman Abu Bakar As Siddiq dengan iman sekalian umat maka berat lagi iman Abu Bakar.”

“Kami pernah memilih orang terbaik di masa Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam. Kami pun memilih Abu Bakar, setelah itu Umar bin Khattab, lalu ‘Utsman bin Affan Radhiallahu’anhu” (HR. Bukhari)

Subhanallah.

Berbeza sekali dengan iman umat Islam sekarang ini. Ada segelintir yang sungguh senang sekali mempertikaikan hukum Allah. Bagaikan dia sudah tahu segala-galanya maka dia berkuasa untuk menolak sesuatu hukum itu tanpa rasa bersalah dan tanpa rasa berdosa. Tahukah dia setiap tindakan yang dilakukan akan diambil pertanggungjawabannya?

“Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung jawaban)?” (Qiyamah, 75:36)

Yang menjadi permasalahan sekarang mereka yang sudah tersesat jauh ini, ingin pula mengajak umat islam yang lain untuk turut sama tersesat dengan mereka. Bukankah sifat sebegini sama dengan sifat iblis yang sudah tersesat setelah tidak mahu menurut perintah Allah untuk sujud memberi hormat kepada Nabi Adam a.s. kemudian telah berjanji pula kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia agar bukan hanya iblis dan syaitan sahaja di dalam neraka tetapi manusia juga.

Masalah inilah yang selalu ISMA bangkitkan. Mereka yang tersesat ini mahu mengajak orang lain tutut tersesat bersamanya. Justeru, selain kita membongkar kerja jahat mereka yang ingin merosakkan umat Islam (mereka dibantu oleh orang luar, sudah tentu) kita harus selamatkan aqidah ummah dengan mengajak kembali kepada Islam sebenar dengan memperbetulkan kembali iman agar dapat mencontohi keimanan para sahabat yang mantap seperti iman Saidina Abu Bakar.

Semoga semakin ramai lagi rijal-rijal (pemuda-pemuda) dapat dilahirkan walau bagaimanapun pun dirinya agar terus komit dan tetap dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini tanpa ragu-ragu dan tanpa gentar. Amiinn.

“Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”. (Yusuf, 12: 108)

 

Oleh:

SITI NOR FATIHAH ZULKIFLI

Wartawan ISMA DHL

JEMPUTAN KE DISKUSI ILMIAH (HUDUD: PENILAIAN KACA MATA SYARAK)

DISKUSI ILMIAH_080515

Diskusi Ilmiah | Hudud

فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. (An Nisa :59)

Majlis Ulama ISMA (MUIS) bersama Biro Dakwah ISMA Cawangan Daerah Hulu Langat akan mengadakan suatu program Diskusi Ilmiah dengan maklumat berikut:

Tajuk : Hudud : Penilaian Kaca Mata Syarak
Penceramah: Dr Kamaruddin Awang Mat, Ahli Majlis Ulama ISMA
Tempat: Surau Al-Amirin Seksyen 4 Bandar Baru Bangi
Tarikh: Jumaat 8 Mei, selepas Maghrib

Ruang diskusi ini akan dijadikan sebagai medan perbincangan sesuatu perkara dengan timbangan syarak sebenar seperti yang digariskan oleh Quran, Sunnah serta ulama silam.

Jauh daripada sebarang sentimen demi memastikan kefahaman kita berdiri atas neraca syarak yang benar. Dengan ini kami menjemput muslimin muslimat untuk sama-sama hadir ke ruang diskusi ini.

Jemput hadir semua!

 

Islam Tidak Menolak Peranan Bangsa

IMG_20140226_213441

IMG_20140226_213348

 

Bandar Baru Bangi, 26 Feb 2014 ─ ISMA memperkasakan bangsa Melayu bukan kerana memperjuangkan bangsa Melayu, tetapi kerana bangsa Melayu membawa imej Islam di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika musuh-musuh Islam cuba menghancurkan Islam dengan merosakkan jati diri bangsa Melayu serta cuba mempersoalkan hak kesamarataan bangsa. Demikian ditegaskan oleh Yang Di Pertua ISMA Hulu Langat, Mohd Noor Azib Bin Asmangi ketika memberikan penyampaian dalam usrah umum bulanan di Pejabat ISMA Hulu Langat semalam. Menurut beliau, terdapat segolongan puak Kristian yang digelar ‘Evengelist’ yang ditugaskan dalam kerja-kerja mengkristiankan umat Islam di Malaysia.

Di dalam usrah umum semalam beliau menyebut bahawa memang ada hadith yang melarang umat Islam menyeru kepada as-sobiyyah dan hadith inilah yang dicanang-canangkan oleh pihak tertentu untuk merosakkan persepakatan bangsa Melayu. Tetapi terdapat pula hadith lain yang memperincikan lagi maksud larangan tersebut. DI dalam hadith yang lain, terdapat seorang sahabat adakah dia termasuk dalam kalangan kelompok assobiyyah sekiranya dia mencintai kaumnya, Nabi S.A.W menjawab ‘Tidak, akan tetapi termasuk dalam kalangan assobiyyah itu seseorang yang menolong kaumnya kea rah kemungkaran.

Beliau juga turut menyentuh isu Tahaluf Siyasi, iaitu kerjasama politik dengan bukan di mana Islam hanya membenarkan Tahaluf Siyasi dengan bukan Islam sekiranya umat Islam mendominasi keadaan tersebut serta lebih kuat daripada kelompok bukan Islam yang bekerjasama dengan mereka bagi mengelakkan kelompok bukan Islam mengambil kesempatan di atas umat Islam yang lemah pada ketika itu.

Menurut beliau lagi, Islam tidak pernah menolak peranan bangsa dalam pembangunan Islam. Allah menciptakan manusia dari berbagai-bagai bangsa dan suku untuk saling kenal-mengenali serta menggunakan kelebihan masing-masing untuk membina tamadun Islam yang unggul.Di dalam sejarah masyarakat Arab, bangsa Quraisy merupakan bangsa yang paling kuat dan berpengaruh di kalangan bangsa Arab yang lain. Oleh itu, merekalah yang paling layak untuk memimpin masyarakat Arab pada ketika itu.

Dalam usrah tersebut juga beliau juga menyentuh tentang dakwaan yang mengatakan orang Melayu adalah bangsa yang paling ramai terlibat dalam gejala social berbanding bangsa yang lain. Jika dilihat dari sudut angka bilangan sahaja sememangnya orang Melayu adalah yang paling tinggi nilai angkanya dalam keterlibatan gejala sosial. Namun jika dilihat dari sudut peratusan perbezaannya tidaklah terlalu jauh berbanding bangsa yang lain. Hal ini kerana peratus jumlah bangsa Melayu di Malaysia jauh lebih tinggi berbandingkan denga bangsa-bangsa yang. Jadi tidak hairanlah bilangan orang Melayu yang terlibat dengan gejala sosial lebih tinggi nilai angkanya. Walaubagaimanapun, sebenarnya masih ramai orang Melayu yang baik serta mengamalkan cara hidup Islam dan peratusannya juga masih tinggi.Jadi bangsa Melayu bukanlah satu bangsa yang lemah.

Berdasarkan isu semasa beliau berkata terdapat usaha-usaha pihak-pihak tertentu yang cuba manghapuskan identiti bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan Islam di Malaysia antaranya  ialah dengan mengadakan dialog perpaduan kaum yang susun atur oleh puak-puak liberalisme bagi meleraikan ikatan umat Islam melalui perpaduan bangsa Melayu. Puak-puak liberalisme ini mendakwa bahawa sudah sampai masanya sempadan bangsa dihapuskan bagi mewujudkan hanya satu bangsa sahaja di Malaysia. Keadaan ini menurut beliau mengancam kedudukan Islam kerana dengan menghapuskan identiti bangsa, maka tidak ada lagi kelompok yang akan menjaga kesucian Islam sekiranya digugat oleh musuh-musuh Islam. Oleh itu, beliau menasihatkan supaya umat Islam tidak terperangkap dengan salah dakwaan bahawa ISMA adalah satu badan NGO yang rasis kerana agenda sebenarnya ingin ditegakkan oleh ISMA adalah Islam itu sendiri.