Tag Archives: Wanita

Didiklah anak perempuan sepertimana Rasulullah mendidik Fatimah

photo_2016-12-05_14-58-45
Ustazah Nurul Fahimah Muda

BANGI, 30 NOV –Wanita muslimah pada hari ini seharusnya mencontohi peribadi Fatimah binti Muhammad atau Fatimah Az-Zahra’ iaitu puteri kesayangan Rasulullah s.a.w. dalam mengharungi kesusahan hidup di dunia.

Wanita muslimah dinasihatkan untuk sentiasa tabah dan sabar dalam melaksanakan  tugas-tugas dalam keluarga seperti mendidik anak, menjaga keperluan suami dan sebagainya. Kerana disebalik kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha,tawakkal dan lain-lain.

“Wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita,” jelas Ustazah Nurul Fahimah ketika menyampaikan Usrah Wanita di Apartment Green Villa Rabu lepas.

Fatimah Az-Zahra’ sentiasa dididik untuk bersabar oleh ayahandanya, Rasulullahs.a.w. sejak kecil lagi. Beliau mengambil alih tugas menjaga ayahandanya setelah kehilangan ibunda tercinta, Khadijah pada usia yang sangat muda.

photo_2016-12-05_14-58-29
Peserta yang menghadiri Usrah Wanita

Beliau sangat matang dan mampu menggalas tugas yang amat berat membantu ayahandanya menghadapi tohmahan dan hinaan daripada penduduk kafir Quraisy sebelum peristiwa hijrah ke Madinah.

Rasulullah mengajar Fatimah supaya bersabar dan tidak leka dengan perhiasan dunia.Baginda juga sentiasa mengambil berat kehidupan Fatimah sekeluarga dan sangat menyayangi cucu-cucu baginda. Begitu mendalam kasih seorang bapa terhadap si anak sehinggakan baginda bersabda:

“Fatimah adalah darah dagingku, apa yang menyusahkannya juga meyusahkanku, dan apa yang mengganggunya juga mengganggu ku”.

Usrah wanita ini diakhiri dengan sedikit jamuan ringan bagi meraikan hadirin yang datang dan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara jiran tetangga di Apartment Green Villa.

 

Wartawan

Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat

Jaga maruah diri untuk elak fitnah

File_000

 

BANGI, 28 Feb – Menjaga maruah diri adalah kewajipan bagi setiap muslim untuk mengelakkan tersebarnya fitnah yang boleh menghancurkan ummat.

“Peristiwa Hadis Al-Ifk (Cerita Dusta) yang berlaku dalam rumah tangga Rasulullah s.a.w dan fitnah yang menimpa Aishah membuktikan begitu mudah fitnah tersebar dan mampu memporakperandakan institusi keluarga dan masyarakat,“ jelas Ustazah Nur Fatin Halil sewaktu menyampaikan Usrah Wanita di Surau Bangi Idaman semalam.

Jelas Ustazah Fatin lagi, semasa Aisyah r.a. difitnah, suasana ketika itu sangat huru-hara dengan semua orang mempercayai dan menyebarkan fitnah lalu menyebabkan Aisyah sangat tertekan kerana orang sekelilingnya turut mempercayai berita palsu tersebut.

Namun, kesucian Aisyah r.a. membuktikan bahawa berita palsu itu adalah bohong semata-mata dengan turunnya ayat ke-23 Surah An-Nur.

Terang beliau lagi, walaupun Aisyah r.a. berseorangan dengan seorang lelaki, namun beliau tetap menjaga maruahnya sebagai seorang wanita muslimah di sepanjang perjalanan.

“Normalisasi budaya berpasang-pasangan atau “couple” yang melanda remaja dan belia sekarang bukan sahaja akan mendatangkan kesan buruk yang akan menjatuhkan maruah seseorang wanita atau gadis muslimah, malah menghancurkan masa depan umat secara keseluruhan.

Seharusnya setiap ibu bapa prihatin dan memberi kasih sayang secukupnya kepada anak-anak kerana mereka yang terjebak dengan “couple” biasanya adalah orang yang kurang kasih sayang sehingga mencari kasih sayang dengan orang lain yang tidak sepatutnya sehingga berlakunya zina dan mengandung anak luar nikah,” ulas beliau lagi.

Ustazah Nur Fatin merupakan penceramah tetap Usrah Wanita di Surau Bangi Idaman, Seksyen 5 Bandar Baru Bangi yang diadakan secara berkala iaitu dua minggu sekali.

 

Nurul Husna Che Hamzah

Wartawan ISMA

Kurang Nilai Hidup Islam Faktor Akhlak Remaja Runtuh

photo_2016-02-02_10-30-53

BANGI, 31 Jan – “Antara faktor utama keruntuhan akhlak di kalangan remaja hari ini adalah kerana mereka kurang didedahkan kepada penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian”, demikian ujar Ustazah Nur Fatin Halil, graduan Universiti Al-Azhar, ketika menyampaikan pengisian dalam Siri usrah wanita di Surau Nur Idaman hari ini.

Usrah wanita kali ini membincangkan tentang tafsir wanita dalam Al-Quran yang dipetik dari surah An-Nur.

Ayat ke-27 dari surah An-Nur misalnya banyak menceritakan tentang adab meminta izin apabila hendak memasuki rumah orang lain dan ia juga wajib dipraktikkan sesama ahli keluarga di rumah sendiri.

“Kalau kita lihat sekarang, isu keruntuhan akhlak remaja sekarang banyak berpunca daripada kurangnya kefahaman agama oleh ibu bapa sendiri, contohnya dalam bab meminta izin yang kurang diamalkan dalam keluarga muslim.

“Ramai yang tidak tahu bahawa di dalam Islam, ada ketikanya anak-anak tidak dibenarkan untuk mengganggu ibu bapa di dalam bilik dan jika terpaksa, mereka perlu meminta izin seperti sebelum subuh, sewaktu tengahari dan waktu malam selepas Isyak, “ tegas beliau lagi.

Akibat kurangnya kefahaman agama seperti ini, kesannya dapat kita lihat melalui keruntuhan akhlak remaja sekarang seperti kes sumbang mahram, rogol dan sebagainya yang kerap sekali terpampang di dada-dada akhbar.

Malah, apa yang lebih menyedihkan ialah apabila anak-anak yang terjebak dalam kancah maksiat itu mengakui bahawa mereka berbuat demikian akibat terpengaruh dengan sikap ibu bapa sendiri yang menggalakkan aktiviti maksiat itu bermula dari rumah seperti menonton video dengan unsur pornografi bersama ahli keluarga lain.

Usrah wanita adalah satu program berkala yang diadakan di beberapa tempat sekitar Bandar Baru Bangi seperti Surau Nur Idaman, Seksyen 5 dan surau perumahan Taman Nadayu 92.

Seminar Fiqh Wanita : Antara Keluarga dan Kerjaya Bincang Hak Wanita Dari Sudut Fiqh

DSC05117
Ustazah Razidah Adam sedang memberi pengisian dalam slot Duit Wanita Hak Siapa

 

Bangi, 23 Nov- “Pendapatan isteri adalah hak mutlak isteri dan menjadi hak milik peribadinya namun si isteri akan mendapat pahala berganda jika membantu suaminya iaitu pahala bersedekah dan pahala menghubungkan silaturrahim.”

Begitu jelas Ustazah Razidah Adam yang merupakan pegawai di Jabatan Mufti Negeri Sembilan dalam Seminar Fiqh Wanita anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Masjid Teras Jernang, Bandar Baru Bangi yang berlangsung semalam.

Beliau juga menjelaskan bahawa hak nafkah untuk isteri yang bekerja hanya gugur apabila isteri tersebut nusyuz terhadap suami atau tidak mentaati suami dalam perkara- perkara yang sepatutnya.

Walaubagaimanapun, jika isteri menyumbang melalui pendapatannya pada pembelian aset, maka isteri berhak dalam pemilikan harta berkadaran dengan sumbangannya dalam pemerolehan harta tersebut”, tambah beliau lagi.

Slot kedua pula dibarisi oleh Puan Suzana Ghazali, perunding psikologi keluarga dan guaman syarie dan Ustazah Suriani Sudi, pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Sunnah dari KUIS yang bergandingan dalam satu forum yang bertajuk Krisis Supermom.

 “Di dalam Islam, seorang isteri dibenarkan untuk keluar bekerja selagi mana dia tidak meninggalkan kewajipannya di dalam rumah tangga serta mampu menyeimbangkan tugas sebagai pekerja dan isteri atau ibu” jelas Ustazah Suriani.

Tambah beliau lagi, walaupun Islam tidak melarang wanita bekerja, namun terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi seperti telah mendapat izin suami dan niatnya haruslah untuk memenuhi keperluan umat dan membantu ekonomi keluarga.

“Tabiat pekerjaan pula perlulah sesuai dengan fitrah seorang perempuan dan mengikut syariat seperti menjaga batas aurat dan pergaulan dengan rakan sekerja yang berlainan jantina,”tambah ustazah lagi.

Diharapkan seminar fiqh kali ini dapat membuka peluang yang lebih luas untuk melahirkan wanita yang berilmu khususnya buat para isteri dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

Wartawan

Roza Ismail

Al-Quran penawar dan petunjuk hidup manusia

photo_2015-07-05_22-46-25
Ustazah Ummu Khadijah sedang memberi penerangan semasa usrah wanita

BANGI, 5 Julai – Wanita ISMA Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Muslimat Surau As-Sumayyah, Intana Ria, Seksyen 7 buat julung kalinya telah menganjurkan Usrah Wanita yang bertajuk Al-Quran: Penawar dan Petunjuk Buat Manusia.

Usrah wanita ini telah disampaikan oleh Ustazah Ummu Khadijah yang juga merupakan jawatankuasa Biro NAZIM (Kelab Anak-anak Hebat) ISMA Daerah Hulu Langat.

Ustazah Ummu memulakan usrah wanita dengan mengambil petikan Al-Quran ayat 9 Surah Al-Isra’ yang bermaksud,

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, bahawa mereka akan beroleh pahala besar.”

Dalam ayat ini Allah telah memberi keyakinan dan janji yang benar sebagai berita gembira buat mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh walaupun tarikan dunia sangat kuat menggugah hati mereka.

Ustazah Ummu menambah lagi, Al-Quran bukan sahaja penawar bagi penyakit yang zahir, bahkan Al-Quran juga adalah penawar kepada penyakit hati dan dari akhlak yang buruk sebagaimana firman Allah dalam Surah Yunus ayat ke-57 yang bermaksud,

“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada.”

Ustazah Ummu mengakhiri usrah umum ini dengan menegaskan bahawa terdapat tiga hak Al-Quran yang perlu kita tunaikan untuk memperoleh fadhilat Al-Quran ini sebagai petunjuk dan penawar.

Pertama adalah hak Al-Quran untuk dibaca dan bertilawah kepadanya, kedua, hak Al-Quran untuk difahami makna dan menjiwainya dalam kehidupan dan akhir sekali hak Al-Quran untuk diamal dengan seluruh isi kandungannya.

Dengan mengambil semangat Ramadhan sebagai bulan Al-Quran, beliau turut mengajak para hadirin untuk bersama-sama memaknakan Al-Quran di dalam jiwa dengan bertilawah dan mendidik diri agar berakhlak dengan akhlak Al-Quran dan semoga Ramadhan kali ini mendidik kita menjadi insan dan hamba-Nya yang lebih baik dari sebelumnya.

Usrah wanita bulanan khas ini diadakan bersempena dengan peristiwa Nuzul Quran yang jatuh pada hari Sabtu lepas.

Nor Raidah Rahmat
Setiausaha Wanita ISMA DHL